Minggu lepas, menteri pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan bahawa perkhidmatan pemeriksaan kenderaan akan dibuka kepada syarikat lain dan ia tidak lagi hanya eksklusif kepada Puspakom apabila konsesi syarikat itu berakhir 31 Ogos 2024 nanti.
Bergantung nanti berapa banyak saingan yang akan muncul, ia sepatutnya dapat memberikan pilihan kepada pemilik kenderaan untuk memilih tempat melakukan pemeriksaan. Langkah meluaskan lagi lapangan ini juga membawa kepada kemungkinan Malaysia menggunakan ujian kelayakan berada atas jalan raya berkala seperti MoT di United Kingdom.
Malaysia juga ada ujian seperti ini, dipanggil sebagai Pemeriksaan Kenderaan Secara Suka Rela, tetapi seperti yang boleh dilihat pada namanya, ia bukanlah pemeriksaan wajib. Program ini diperkenalkan sebagai sebahagian daripada perkara yang terdapat dalam Polisi Automotif Negara (NAP) 2014 dan sepatutnya membawa kepada ujian kelayakan jalan raya yang wajib pada masa hadapan.
Ditawarkan kepada kenderaan berusia lebih lima tahun sewaktu baru diperkenalkan, pemeriksaan ini masih lagi wujud melalui Puspakom, dan disediakan bagi mereka yang mahukan pemeriksaan 25 bahagian kenderaan secara suka rela – itupun kalau mereka cukup sabar untuk melalui prosesnya.
Pernah dinyatakan juga sebelum ini bahawa untuk memastikan program seperti ini berjaya, sepatutnya pusat pemeriksaan tidak terhad pada satu agensi atau syarikat sahaja, seperti Puspakom. Jika tidak, apabila ia diwajibkan, pasti akan menyebabkan kesesakan kerana hanya Puspakom sahaja yang boleh melakukan pemeriksaan tersebut.
Keputusan kerajaan untuk membuka khidmat ini kepada lebih banyak syarikat boleh membuatkan pemeriksaan kelayakan atas jalan secara wajib satu realiti, tetapi ia masih akan mengambil masa sebelum dapat dilaksana bagi menentukan perkara seperti kekerapan, bahagian yang perlu diperiksa serta kos.
Dalam ujian MoT UK, beberapa perkara pada kenderaan diperiksa untuk memastikan ia mematuhi tahap peraturan yang telah ditetapkan. Ini termasuklah antaranya struktur badan, pintu, cermin, brek, lampu, tayar, stereng, suspensi, tali pinggang dan juga hon. Pemeriksaan suka rela yang disediakan oleh Puspakom juga melakukan perkara yang hampir sama.
Di UK, semua kenderaan yang berusia lebih tiga tahun perlu melakukan pemeriksaan MoT berkala demi memastikan ia layak berada di atas jalan raya. Sekiranya ada perkara yang tidak kena, ia perlu diatasi terlebih dahulu sebelum kereta tersebut dikenakan cukai dan boleh dipandu atas jalan.
Walaubagaimanapun, perlu dinyatakan bahawa di UK, bengkel kecil pun mempunyai lesen dan kelayakan untuk melakukan pemeriksaan MoT dan mengeluarkan sijil, sekaligus menjadikan prosesnya lebih mudah dan pantas. Info terkini yang diperoleh, untuk negara kita, penyedia khidmat pemeriksaan baru ini tidak boleh sekadar bengkel biasa, dan perlu mempunyai aturan seperti Puspakom.
Sekiranya pemeriksaan berkala betul-betul dilaksanakan di Malaysia, tentunya jalan raya akan menjadi lebih selamat. Selain daripada itu, sistem ini juga boleh digunakan sebagai pengukur kelayakan kereta lama untuk berada atas jalan, berbanding polisi akhir hayat yang mahu melupuskan semua kenderaan berusia lebih 20 tahun.
Kereta lama, kalau dijaga dengan baik dan disahkan melalui pemeriksaan berkala, masih boleh dikira layak berada atas jalan melalui program seperti MoT ini. Walaubagaimanapun, ia akan melibatkan tambahan kos dan mungkin tidak akan digemari oleh pemilik kenderaan. Ini adalah antara perkara yang perlu diambil kira oleh kerajaan.
Bagi anda bagaimana? Adakah Malaysia patut melakukan pemeriksaan berkala seperti ini? Adakan ia berbaloi untuk dibuat? Kongsikan pendapat anda melalui ruang komen di bawah.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.