Susulan kepada pengumuman oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sebelum ini berkaitan sistem bayaran tol terbuka, yang bakal menyaksikan pelaksaannya seawal September kelak, bermula dengan dua lebuhraya iaitu Jambatan Pulau Pinang dan Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) hari ini mengeluarkan satu kenyataan menyambut baik cadangan itu.
Selari dengan pengumuman berkenaan, LLM bersama syarikat konsesi yang lain akan mengambil langkah sewajarnya untuk menjayakan hasrat kerajaan bagi menjayakan pelaksanaan sistem bayaran tol terbuka tersebut. Melalui sistem ini, pengguna akan mempunyai lebih banyak pilihan bagi kaedah pembayaran tol — termasuk kad debit dan kredit, serta Touch n Go eWallet. Ketika mula dilaksanakan nanti, pengguna yang ingin memanfaatkan kaedah bayaran terbuka ini perlu menggunakan lorong RFID.
“LLM dan syarikat-syarikat konsesi lebuhraya akan bekerjasama melancarkan pelaksanaan sistem pembayaran tol secara terbuka (Open Payment System) dengan mengambil kira keseluruhan persekitaran sistem tol sedia ada. Pelaksanaan sistem pembayaran tol secara terbuka ini juga adalah inisiatif awal bagi peralihan ke arah sistem Multi Lane Fast Flow (MLFF) yang giat diusahakan ketika ini. Ini adalah merupakan langkah yang tepat dalam usaha Kerajaan/Kementerian memberi pilihan serta kemudahan kepada pengguna bagi tujuan pembayaran tol di lebuh raya,” jelas kenyataan itu.
Terdahulu, Alexander juga memaklumkan yang lima lebuhraya akan mula melaksanakan sistem bayaran terbuka ini — yang muncul sebagai respon segera kepada isu monopoli oleh Touch n Go — termasuk Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Pantai Baharu (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Jambatan Pulau Pinang. Senarai ini ditambah dengan lima lagi lebuhraya yang akan ikut serta: Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) dan Terowong SMART — menjadikan 11 lebuhraya keseluruhannya ketika ini.
Berkaitan sistem MLFF pula, Besraya telah dipilih sebagai lokasi Proof of Concept (POC) yang pertama dan akan dimulakan pada Oktober nanti.
Dengan pengesahan sokongan oleh LLM ini, yang sudah tentunya melibatkan banyak lagi syarikat konsesi di bawahnya, pengguna tentunya akan dapat memanfaatkan sistem bayaran terbuka ini dalam masa terdekat, dengan kawasan perkhidmatan yang lebih meluas.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.