Terdapat banyak perkara yang boleh diperkatakan tentang Toyota Vios generasi ke-4 2023 yang baru dilancarkan untuk pasaran Malaysia minggu lalu. Antara yang paling utama, ini model serba baru yang telah beralih untuk menggunakan platform DNGA — platform yang sama dengan Perodua Ativa, Alza dan Axia — yang secara langsung memberikan pertambahan ukuran dimensi kepada sedan segmen B popular ini: ukuran dimensi berkenaan adalah 4,425 mm panjang (+5 mm), 1,740 mm lebar (+10 mm) dan 1,480 mm tinggi (+5 mm). Lebih penting, jarak antara rodanya kini 70 mm lebih panjang dengan 2,620 mm.
Kedua, rekaan yang ditampilkan juga jauh lebih matang berbanding Vios yang sebelum ini, kerana sekali imbas, ia seperti “baby Camry” dengan reka bantuk dan arah tuju rekaan yang matang, banyak mengenakan garisan-garisan tajam yang ketara serta bahagian belakang yang menerapkan cermin landai ala fastback seperti yang selalu kita lihat digunakan untuk kereta Audi terbaru.
Ketiga, hanya ada dua varian yang ditawarkan, berbanding empat varian sebelum ini. Varian paling asas, E dijual pada harga RM89,600 manakala varian paling tinggi G dengan harga RM95,500. Dengan varian G ini, penawarannya yang paling berbaloi — beza harga sekitar RM6k ini memberikan nilai yang jauh lebih berbaloi bagi varian G, apatah lagi jika mengambil kira jumlahnya yang dibahagikan mengikut jumlah tahun tempoh pembiayaan pinjaman kenderaan.
Di dalam, dengan penggunaan platform DNGA tersebut, dapat juga dilihat bebarapa kelengkapan yang “dipinjam” daripada model-model Perodua sedia ada yang menggunakan platform sama. Yang dimaksudkan adalah stereng dan tombol gearnya. Ciri maju lain seperti Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar — serta pengecas telefon tanpa wayar — juga ada disediakan.
Melalu video ini, kami membawa anda untuk melihat secara ringkas apa yang ada ditawarkan oleh Vios G 2023 ini berbanding varian E. Yang mana satu lagi berbaloi agaknya?
Toyota Vios G 2023
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.