Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya yang mula beroperasi pertengahan Mac lalu masih belum dapat mengurangkan kesesakan waktu puncak, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Jelasnya, operasi MRT berkenaan masih pada peringkat awal untuk melihat keberkesanannya dalam mengurangkan kesesakan trafik, laporan Bernama.
“Keadaan kesesakan trafik khususnya sepanjang bulan Ramadan ini, pada waktu puncak agak kritikal lagi, termasuklah di Lebuh Raya MEX, Lebuh Raya Persekutuan, Lebuh Raya Kuala Lumpur- Sungai Besi. Kawasan yang agak kritikal yang saya tahu setiap hari waktu puncak pagi dan petang masih berlaku kesesakan teruk.
“Jadi, saya tidak hendak katakan laluan MRT itu sudah berjaya kurangkan kesesakan. Belum lagi kerana masih peringkat awal,” katanya sambil menambah, walau bagaimana pun dapat dilihat trend jumlah penumpang itu akan terus meningkat.
“Semasa dua minggu pertama kita beri perkhidmatan percuma, jumlah penumpang mencecah 100,000 setiap hari, apabila mula kutip tambang pada 1 April lalu, jumlah penumpang lebih kurang 80,000. Jadi itu perkara biasa. Kalau percuma, memang ramai orang akan guna,” sambungnya lagi.
Dalam pada itu, pihaknya menyasarkan laluan terbabit bakal digunakan 200,000 penumpang sehari.
“Jadi, setakat ini 80,0000 penumpang masih hanya 40%. Kita boleh naikkan lebih 200,000 kapasiti untuk jajaran Putrajaya ini. Jadi, kita harapkan ini ambil sedikit masa untuk tingkatkan jumlah penumpang. Memang dalam semua perkhidmatan rel, ini perkara biasa, masa diperlukan,” katanya.
Dilancarkan pada 16 Mac lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, MRT Laluan Putrajaya mempunyai 36 stesen, merangkumi 27 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah, dengan 10 stesen pertukaran atau sambungan, yang memudahkan penumpang dari Laluan Putrajaya untuk ke laluan rel sedia ada.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.