Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) menjadi lebuhraya terkini yang bakal melaksanakan sistem pembayaran tol terbuka, yang dijangka bermula pada September tahun ini. Menurut Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, ini menjadikan jumlah keseluruhan lebuhraya yang terlibat di dalam inisiatif ini sebanyak 12 lebuhraya. Senarai berkenaan termasuk:
- Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA atau E9)
- Lebuhraya Pantai Baharu (NPE atau E10)
- Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH atau E12)
- Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE atau E35)
- Jambatan Pulau Pinang (E36)
- Lebuhraya Butterworth-Kulim (E15)
- Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP atau E11)
- Lebuhraya SPRINT (E23)
- Lebuhraya Shah Alam (E5)
- Terowong SMART (E38)
- Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX atau E20)
- Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE atau E33)
Dengan sistem pembayaran tol terbuka ini, pengguna lebuhraya juga boleh menggunakan kad debit atau kredit di terminal khas di plaza tol untuk membayar kadar tol. Bulan lalu, PLUS telah mengumumkan pengguna lebuhraya yang ingin menggunakan kad debit atau kredit untuk membayar tol boleh menggunakan lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) untuk berbuat demikian.
Sebelum ini, Nanta turut berkata, pelaksanaan sistem pembayaran tol terbuka ini adalah salah satu langkah untuk peralihan ke arah sistem Aliran Bebas Pelbagai-Lorong atau Multi-Lane Fast Flow (MLFF). Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasminya, Nanta turut berkata, DUKE juga akan menjadi lokasi kedua pelaksanaan Proof of Concept (POC) bagi menilai sistem MLFF selepas Lebuhraya BESRAYA. POC dijangka bermula pada penghujung Oktober 2023.
“Seperti yang diketahui umum, pelaksanaan sistem pembayaran tol terbuka ini merupakan persediaan awal peralihan ke arah MLFF sebelum dilaksanakan sepenuhnya secara berfasa selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024.
“Usaha ini diharap dapat memberikan peluang kepada kerajaan, syarikat konsesi serta pihak terlibat untuk mengenal pasti dan menyelesaikan segala isu-isu yang dapat merencatkan kelancaran pelaksanaan MLFF ini kelak,” katanya seperti yang dilaportkan oleh Bernama.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.