Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah mengumumkan bahawa kerja-kerja penambahan 12 lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di beberapa plaza tol di lebuhraya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah pun diselesaikan dan mula beroperasi sejak 11 Mac lalu.
“Pada Januari tahun ini, saya telah mengumumkan penambahan 12 lorong RFID di beberapa plaza tol PLUS bagi mengatasi masalah kesesakan yang telah banyak menimbulkan rungutan di kalangan pengguna.
“Berdasarkan perancangan asal, penambahan lorong RFID ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka siap pertengahan April ini. Saya sebagai Menteri Kerja Raya ingin mengumumkan bahawa kerja-kerja menambah lorong RFID tersebut kini sudah selesai,” katanya menerusi Facebook rasminya baru-baru ini.
Jelasnya, 12 lorong tambahan RFID tersebut ditempatkan di Plaza Tol Setia Alam, Subang, Jalan Duta, Putra Mahkota, Kajang, Kubang Semang, Sungai Besi, Shah Alam, Sungai Buloh, Rawang Selatan dan Jambatan Pulau Pinang.
“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada PLUS kerana telah menambah 12 lagi lorong RFID di lebuh raya kendaliannya lebih awal dari yang dijadualkan sebelum ini. Pada masa yang sama, saya berharap agar pengguna juga turut mengamalkan kaedah penggunaan RFID yang betul,” katanya lagi sambil menambah pihak konsesi berkenaan telah memberikan jaminan bahawa sistem RFID akan sentiasa dipastikan berada di dalam keadaan yang terbaik.
Walau bagaimana pun, beliau berharap agar kerjasama daripada penggguna RFID di lebuhraya PLUS untuk sentiasa menggunakan lorong RFID atau mod pembayaran yang sama ketika masuk dan keluar dari plaza tol serta memastikan baki eWallet yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan di lebuh raya bagi memastikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.