Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengumumkan bahawa pembayaran bagi petak parkir di zon dua jam kini boleh dibuat menerusi aplikasi Touch n Go eWallet, sebagai tambahan kepada pilihan Setel yang diperkenalkan pada tahun lalu. Sebelum ini, pembayaran kadar parkir hanya boleh dibuat menerusi aplikasi Smart Selangor Parking dan Flexi Parking. Aplikasi JomParking kini menyokong lima pilihan kaedah pembayaran secara keseluruhannya.
Dilaksanakan sejak September 2022, zon parkir dua jam ini melibatkan enam jajahan di bawah pentadbiran MBSJ di USJ10, SS12, SS15, USJ21, Bandar Puteri Puchong dan Jalan Kenari di Puchong. Petak parkir berkenaan juga dicatkan dengan garisan berwarna jingga dan tertulis perkataan “Zon Parkir 2 Jam”.
Kadar bayaran yang ditetapkan bagi zon parkir dua jam itu adalah sebanyak 50 sen bagi setengah jam pertama, dan pemandu diberikan tempoh selama sejam sebelum dibenarkan untuk parkir kembali di zon berkenaan.
Untuk penduduk di PJ pula, sistem parkir dua jam ini juga telah diimplementasikan di PJ State dan akan diperluaskan di kawasan komersil tidak lama lagi. Idea pelaksanaan zon parkir dua jam ini adalah untuk mengelakkan pemandu yang ‘menguasai’ petak parkir sepanjang hari (terutamanya yang bekerja di kawasan berkenaan) d kawasan komersil yang sibuk, memberikan peluang kepada pengguna lain yang mempunyai urusan jangka masa singkat (kurang dua jam) parkir kenderaan di situ.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.