Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) akhirnya melaksanakan had parkir dua jam di enam kawasan jajahannya, mulai 1 September ini. Pada mulanya rancangan ini diumumkan pada Februari lalu dan dijadualkan dilaksanakan mulai 1 Jun, namun ia ditangguhkan berikutan kerajaan Selangor masih belum meluluskan dan mewartakan pindaan Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) MBSJ 2022.

Enam kawasan yang bakal terlibat untuk pelaksanaan zon had parkir dua jam ini ialah USJ10, SS12, SS15, USJ21, Bandar Puteri Puchong dan Jalan Kenari di Puchong, laporan The Star.

Menurut Datuk Bandar Subang Jaya, Johary Anuar, sebanyak 1,895 petak parkir telah dicat dengan garisan jingga supaya pemandu kenderaan menyedari kawasan berkenaan terletak dalam zon had parkir dua jam, dan lebih banyak petak parkir sebegitu akan ditambah. Selain itu,beliau turut berkata, pihaknya sedang menyediakan sebanyak 2,106 petak parkir dua jam daripada keseluruhan 45,000 petak parkir yang terdapat di kawasan komersil terbabit.

Jelas beliau, kadar bayaran yang ditetapkan bagi zon parkir dua jam itu adalah sebanyak 50 sen bagi setengah jam pertama (dikurangkan sebanyak 10 sen berbanding kadar asal yang disebutkan pada Februari lalu), dan pemandu diberikan tempoh selama sejam sebelum dibenarkan untuk parkir kembali di zon berkenaan.

Beliau turut berkata, tempoh berkenaan juga meliputi kesemua enam kawasan yang terbabit di bawah sistem yang sama. Sebagai contoh, sekiranya pemilik kenderaan telah memarkir di petak parkir dua jam berkenaan hingga tamat tempoh, misalnya di SS15, dia perlu menunggu dalam sejam untuk parkir di petak parkir dua jam yang lain, tak kiralah sama ada di USJ10, SS12 atau di mana-mana di bawah zon yang sama.

Tambahnya, pasukan penguatkuasa MBSJ akan sentiasa membuat rondaan di kawasan berkenaan dan kenderaan yang melebihi had masa akan ditunda. Walau bagaimana pun, katanya, tempat letak kereta OKU sedia ada dikecualikan daripada had baharu, dan tempat letak kereta selama satu jam yang dimulakan sebelum ini akan dimansuhkan. Had dua jam itu juga tidak akan menjejaskan pemilik rumah kedai atau premis lain yang menyewa tempat letak kereta secara tahunan.

Bagi kaedah pembayarannya, beliau berkata, pemilik kenderaan boleh membayar kadar parkir menggunakan aplikasi Smart Selangor bermula 1 September ini. Lain-lain aplikasi pembayaran parkir seperti Flexi Parking, JomParking serta sistem ewallet termasuk Boost, Touch ‘n Go, KK Mart dan Setel akan disepadukan kelak.