Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengesahkan pihaknya sedang meneliti dan merangka struktur baharu cukai jalan bagi kenderaan elektrik (EV).
Katanya, pengumuman mengenai struktur baharu itu dijangka diumumkan hujung tahun ini, selain diberikan perhatian utama dalam inti pati Belanjawan 2024 bagi kementerian tersebut. Selain itu, jelasnya, penstrukturan baharu cukai jalan kenderaan berkenaan penting kerana kerajaan terdahulu hanya memberikan pengecualian cukai jalan EV sehingga tempoh 2025, laporan Bernama.
“Rata-rata pengguna bimbang dengan struktur cukai jalan bagi EV kerana kalau kita ikut formula lama (cukai jalan EV) impak kosnya tinggi dan boleh mencecah RM4,000 hingga RM5,000 setahun.
“Saya sudah arahkan pegawai-pegawai di MOT bagi untuk meneliti hal ini hasil maklum balas syarikat penyedia EV dan pengguna. Ini juga usaha kita untuk menggalakkan peralihan kepada penggunaan kenderaan itu,” katanya.
Tambah beliau lagi, dasar mengenai penggunaan EV perlu jelas agar usaha kepada pertukaran mod pengangkutan yang lebih mampan dapat dilakukan.
“Usaha itu selaras dengan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon yang menyasarkan negara mencapai 15% penggunaan EV dan kenderaan hibrid pada tahun ini dengan penyediaan 10,000 unit fasiliti pengecasan menjelang 2025,”katanya lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.