Menurut laporan dari Nikkei Asia, China kini sudahpun mengatasi Jepun sebagai pengimport kenderaan baharu paling banyak di dunia untuk suku pertama 2023. Berdasarkan data dari Persatuan Pengeluar Automobil China (CAAM), eksport kenderaan dari negara berkenaan mencecah 1.07 juta unit pada Januari hingga Mac tahun ini, naik sebanyak 58%.
Sebagai perbandingan, Persatuan Pengeluar Automobil Jepun (JAMA) pula mendedahkan bahawa Jepun telah mengeksport sebanyak 950,000 unit kenderaan untuk tempoh yang sama, atau naik 6% berbanding tempoh sama tahun lalu. China juga sudahpun diiktiraf sebagai pasaran automotif terbesar di dunia, mengatasi Amerika Syarikat sejak 2009.
Kerajaan China kini sedang memberikan pelbagai insentif bagi mengembangkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) domestik. Inisiatif ini secara tidak langsung meningkatkan jumlah eksport automotif China untuk kenderaan dengan teknologi elektifikasi.
Dalam suku pertama 2023 sahaja, jumlah eksport kenderaan teknologi baharu (NEV) yang termasuk EV meningkat sebanyak 93% berbanding tempoh sama tahun lalu kepada 380,000 unit.
Belgium, Australia dan Thailand merupakan pengimport terbesar model-model NEV dari China ini. Tesla China merupakan pengeksport NEV terbesar dengan jumlah 90,000 unit, diikuti SAIC Motor dengan 50,000 unit serta BYD dengan 30,000 unit.
Manakala Rusia merupakan destinasi eksport paling popular untuk kenderaan-kenderaan buatan China pada suku pertama 2023 dengan jumlah 140,000, naik lebih dari tiga kali ganda berbanding setahun lalu.
Berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 2022, Toyota, Volkswagen dan pembuat kereta lain menutup kilang masing-masing di Rusia dan keluar dari negara berkenaan, membolehkan pembuat kereta dari China menguasai pasaran di negara tersebut.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.