Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri menyarankan agar pembinaan litar perlumbaan drag di setiap negeri dapat diteruskan, sebagaimana yang diumumkan dalam Bajet 2023 ketika beliau mengetuai pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia sebelum ini.
Katanya, peruntukan sebanyak RM20 juta telah diperuntukkan bagi pembinaan litar perlumbaan drag untuk memberi peluang kepada belia membabitkan diri dengan lebih serius dalam sukan permotoran mengikut saluran betul, laporan Bernama.
Katanya, litar perlumbaan drag itu juga akan menjadi platform terbaik untuk menarik lebih ramai tenaga pengajar profesional untuk melatih belia dan seterusnya melahirkan bakat baharu dalam sukan permotoran negara.
“Kekurangan platform dan kompleks sukan permotoran ini menjadi satu daripada punca peningkatan masalah sosial dalam kalangan belia seperti perlumbaan haram, aktiviti samseng jalanan dan melepak,” katanya.
Tambahnya, pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dicadang supaya melawat litar perlumbaan drag yang telah siap dibina di Terengganu dan Johor bagi memahami tujuan cadangan, aspirasi serta minat golongan muda terhadap sukan permotoran.
“Di Johor, pembinaan adalah pada kadar minimum seperti litar dan pagar keselamatan sahaja berbanding di Terengganu yang menelan kos lebih tinggi kerana mempunyai tempat duduk grandstan. Manakala litar drag di Jempol, Negeri Sembilan yang siap dibina tahun lepas hasil usaha sama agensi swasta, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri juga hanya melibatkan kos RM1.3 juta,” jelasnya lagi.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dalam jawapan kepada pertanyaan Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata cadangan kerajaan terdahulu untuk membina litar perlumbaan drag khas di setiap negeri tidak akan diteruskan kerana akan menanggung kos penyelenggaraan yang sangat tinggi selain perlu diselia oleh pakar terlatih.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.