TASKL 2023: Garage Active Nissan Skyline R32 GT-R Carbon-R; satu badan karbon, RB30, turbo besar pasu!

TASKL 2023: Garage Active Nissan Skyline R32 GT-R Carbon-R; satu badan karbon, RB30, turbo besar pasu!

Hari ini kami bersiaran langsung dari Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) sempena berlangsungnya Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) 2023. Mungkin ada yang bertanya, apa yang best ada di sini? Nissan Skyline GT-R R32 milik Garage Active dari Jepun ini adalah satu sebabnya.

Seperti yang anda boleh lihat, R32 yang diberi nama Carbon-R ini bukan hanya disumbat dengan enjin yang begitu berkuasa, malah ia juga dibina semula dengan menampilkan panel-panel badan sepenuhnya yang diperbuat dari bahan ringan gentian karbon!

Kit badan ini dibina sepenuhnya oleh Garage Active dan ia melibatkan bahagian luaran yang komprehensif terdiri dari bampar hadapan dan belakang, bonet hadapan dan but belakang, cermin sisi, lips spoiler belakang, bumbung, pintu, dan kesemua fender yang telah dilebarkan – pendek kata, tiada langsung panel logam atau plastik pada bahagian luar R32 ini dan kesemuanya telah digantikan dengan panel gentian karbon sebenar.

TASKL 2023: Garage Active Nissan Skyline R32 GT-R Carbon-R; satu badan karbon, RB30, turbo besar pasu!

Ini secara tidak langsung mengurangkan berat GT-R R32 berkenaan dari 1,430 kg kepada hanya 1,395 kg, walaupun telah menerima pelbagai lagi kelengkapan ubahsuai. Apa yang lagi menarik, panel-panel karbon berkenaan turut disembur dengan warna ikonik Skyline GT-R iaitu Midnight Purple – atau lebih spesifik Midnight Purple III dari Skyline GT-R R34 – tetapi ia masih mendedahkan dengan jelas corak tenunan gentian karbon tersebut.

Dalam bonet hadapan, ia tidak lagi menempatkan enjin asal RB26, tetapi dia telah diganti dengan versi yang dibina semula sepenuhnya oleh HKS dikenali dengan dengan nama RB30. Seperti namanya, enjin tersebut masih menampilkan konfigurasi asal enjin siri RB Nissan iaitu enam silinder sebaris, namun kapasitinya telah meningkat dari 2.6 liter kepada 3.0 liter!

Segala isi perut enjin RB30 tersebut seperti omboh, aci engkol, aci sesondol, injap, spring injap dan sebagainya adalah komponen yang dibina oleh HKS. Dengan digandingkan bersama pengecas turbo HKS75115BB, enjin berkenaan kini bernafas dengan 1,000 hp.

TASKL 2023: Garage Active Nissan Skyline R32 GT-R Carbon-R; satu badan karbon, RB30, turbo besar pasu!

GT-R ini masih mengekalkan sistem pacuan semua roda, tetapi transmisinya telah menerima sentuhan semula bagi membolehkan ia menampung kuasa sekitar empat kali ganda dari jumlah asal. Ia menggandingkan kotak gear sequential enam-kelajuan OS-88 dari OS Giken bersama set klac karbon ATS Max. Manakala pada gandar hadapan dan belakang unit-unit LSD asal telah ditukar kepada LSD karbon juga keluaran ATS.

Untuk suspensi, komponen utama yang digunakan juga dari HKS, menampilkan penyerap hentak HKS Hipermax IV SP Drag. Manakala kesemua ruang roda yang telah dilebarkan menerima set roda yang terdiri dari rim SS-Active RC-V1 bersaiz 1-inci dengan lebar 12-inci, dibalut dengan tayar 295/30/R18.

Pengaruh jentera lumba jelas kelihatan dalam kabin R32 Carbon-R ini dimana semua upholsteri kulit telah digantikan dengan Alcantara. Tempat duduk belakang telah dicabut keluar manakala tempat duduk hadapan pula diganti dengan kerusi perlumbaan Recaro RMS yang juga diperbuat dari karbon kering.

Selain itu, roda stereng asal turut telah dicabut bagi digantikan dengan roda stereng “deep dish” dari Renown, manakala barisan meter “tiga beradik” dari Defi diletak pada konsol tengah papan pemuka. Kabin R32 ini turut dilindungi oleh set rollcage yang dibina oleh Garage Active.

Walaupun ia kelihatan seperti kokpit jentera lumba sebenar, Skyline GT-R R32 Carbon-R ini masih dilengkapi dengan sistem pendingin hawa. Sistem berkenaan adalah kit yang dibangunkan sendiri oleh Garage Active khas untuk R32, digelar sebagai Active R134 Air Conditioner kit.

Jadi kalau anda nak tengok jentera yang pernah dipamerkan di acara SEMA 2021 di Amerika Syarikat ini, jangan lupa datang ke TASKL yang berlangsung di MITEC bermula hari ini sehingga Ahad, 11 Jun nanti. Ia dibuka bermula 10 pagi sehingga 10 malam setiap hari penganjurannya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required