Jika anda peminat kereta-kereta ubahsuai terutamanya dari Jepun, Tokyo Auto Salon (TAS) yang dilangsungkan saban tahun di dewan Makuhari Messe sudah tentu adalah antara acara yang perlu anda hadir sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Namun bagi mereka yang masih belum sempat untuk ke Jepun, ini peluang keemasan untuk anda kerana TAS bakal di bawa ke Kuala Lumpur tahun ini!
Dalam majlis pelancaran Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) 2023 hari ini, penganjur acara berkenaan iaitu MUSE Group Asia, Element X Strategies dan juga pemilik jenama TAS iaitu San Ei Corporation mengumumkan bahawa acara ini akan dilangsungkan pada 9 hingga 11 Jun 2023, bertempat di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur.
Acara ini akan berlangsung dalam ruang tertutup seluas 130,000 kaki persegi, dan akan melibatkan penala-penala dari Jepun termasuk Top Secret, RE Amemiya, Spoon, HKS, Greddy dan lain-lain. Menurut penganjur dalam sesi temubual ketika majlis pelancaran ini, pengasas Top Secret, Smokey Nagata merupakan antara ikon penala JDM yang akan turun ke TASKL 2023 ini.
Selain itu, pemain-pemain dari ASEAN seperti Option 4 Wheel dari Thailand, Adtory-Minshing Brakes dari China, serta wakil-wakil tempatan seperti Hot Wheels Malaysia, EMMA Malaysia dan Soon Soon Garage turut akan hadir ke TAS KL kali ini.
“Sejak MUSE Group Asia menganjurkan pameran Tokyo Auto Salon yang pertama di luar Jepun iaitu di Singapura pada 2013, hasrat kami ialah untuk membawa pameran berprestij ini ke Malaysia. Selepas perancangan selama 3 tahun, akhirnya kami dengan sukacitanya mengumumkan Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur akan menjadi realiti hanya beberapa bulan sahaja lagi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MUSE Group Asia Riduwan Matni.
“Dengan sokongan kesemua rakan-rakan kongsi dan orang ramai. dan tidak lupa juga dari rakan rakan media, pameran ini berpotensi menjadi pencetus dalam merancakkan semula industri barangan dan peralatan automotif yang telah menempuh pelbagai cabaran akibat pandemik Covid-19 dan kini sedang menuju ke arah pemulihan. Kami tidak sabar mengacarakan pameran yang bersesuaian dengan prestij Tokyo Auto Salon,” tambahnya lagi.
Majlis hari ini turut disertai oleh Ketua Pengarah Persekutuan Tokyo Auto Salon, Encik Junichi Fukui. Menurut beliau, keputusan untuk membawa Tokyo Auto Salon ke luar Jepun adalah bertujuan untuk mendapatkan pendedahan yang lebih meluas untuk ahli-ahlinya dan bagi meneroka pasaran-pasaran baharu.
“Pameran di Kuala Lumpur juga akan mengetengahkan satu persembahan yang lebih bertaraf antarabangsa dengan paparan kenderaan-kenderaan tempatan yang telah diubah suai serta pameran-pameran yang menampilkan aksesori, barangan automotif berprestasi tinggi dan pelbagai perkhidmatan dari Malaysia dan rantau ASEAN. Objektif kami yang lebih besar adalah untuk mewujudkan platform yang berdaya maju untuk ahli-ahli kami serta bakal-bakal pengeluar serantau untuk terlibat dan berkerjasama dalam perniagaan ,” kata Fukui.
“Cinta terhadap kereta JDM telah berkembang pesat di seluruh dunia dan Tokyo Auto Salon telah berada di pusat fenomena ini. Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur dijangka dapat menjadi hab stralegik untuk peminat-peminat dan ahli-ahli kami di rantau ASEAN ,” tambah Fukui lagi.
Tiket untuk ke Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur kini sudahpun mula dijual secara atas talian menerusi laman sesawang rasminya yang boleh anda layari pada PAUTAN INI. Ia dijual pada harga RM60 sehari untuk dewasa dan RM28 sehari untuk kanak-kanak.
Namun untuk pembeli-pembeli awal (dari 18 hingga 30 Mac) diberikan diskaun sebanyak 30% iaitu RM40 sehari untuk dewasa dan RM18 sehari untuk kanak-kanak. Pembeli-pembeli awal ini juga berpeluang menyertai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah berupa perjalanan dan perbelanjaan yang dibiayai sepenuhnya (untuk dua pasangan) ke Tokyo Auto Salon 2024. Tiket turut akan dijual di pintu masuk ketika acara ini dilangsungkan kelak.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.