Satu varian baru bagi Suzuki Jimny dilancarkan oleh Naza Eastern Motors untuk pasaran Malaysia, iaitu Jimny Rhino Edition. Model ini hanya terhad kepada 30 unit dan dijual pada harga RM174,900 tidak termasuk insurans.
Jimny Rhino Edition datang dengan warna badan utama Pure Pearl White, dan diserlahkan dengan pelekat berwarna hitam, kelabu dan merah di tepi dan atas hud. Anda juga akan dapat melihat tulisan ‘Real Offroader’ di bahagian tepi kenderaan.
Konsep Rhino atau badak sumbu ini sebenarnya sudah digunakan pada Jimny SJ generasi kedua lebih 40 tahun dulu dan sekarang ia diterapkan kepada model terkini. Selain pelekat dengan bentuk binatang tersebut, ia juga digunakan sebagai lencana di bahagian belakang Jimny ini.
Kelengkapan istimewa lain yang diberikan pada Jimny Rhino Edition ini adalah termasuk gril khas tanpa kemasan menegak di bahagian tengahnya, cermin sisi krom, penahan lumpur warna merah dengan tulisan Jimny, pelindung differential depan dan belakang, serta penghadang angin.
Bagi pemilik Jimny generasi keempat sedia ada, mereka juga boleh mendapatkan kit Rhino yang memberikan kelengkapan sama seperti Jimny Rhino Edition, dijual oleh Naza Eastern Motors pada harga RM15,000 melalui pengedarnya di Petaling Jaya.
Bahagian mekanikal Rhino Edition ini masih sama seperti Jimny biasa, iaitu menggunakan enjin petrol empat silinder NA 1.5 liter VVT bersama transmisi automatik empat kelajuan dan sistem pacuan empat roda separuh masa, menghasilkan kuasa 100 hp pada 6,000 rpm dan 130 Nm pada 4,000 rpm.
Senarai kelengkapan lain juga adalah sama, seperti lampu utama LED, rim 15 inci, skrin sesentuh tujuh inci dengan sambungan Apple CarPlay, dua pembesar suara, pendingin hawa automatik satu zon, dua beg udara, ABS, Brake Assist, Stability Control, Hill Start Assist dan Hill Descent Control.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.