UMW Toyota (UWMT) dengan rasminya telah memperkenalkan model terbaru dalam barisan penawaran syarikat itu untuk pasaran Malaysia, model generasi ketiga yang dikenali dengan nama Innova Zenix. Diperkenalkan pertama kali di Indonesia pada November tahun lalu, MPV dengan penggayaan SUV ini hadir dalam dua versi, iaitu petrol dan juga hybrid electric vehicle (HEV), masing-masing dengan harga RM165,000 dan RM202,000, tidak termasuk insuran. Ia merupakan unit CBU dari Indonesia.
Berbanding Innova generasi kedua sebelum ini yang dipasang di sini (Innova 2.0E, 2.0G dan 2.0X), harga berkenaan memang banyak meningkat. Ini kerana, Innova Zenix disifatkan sebagai penawaran sebuah model baru yang lebih premium bagi Innova biasa tersebut, yang masih akan tetap dijual beriringan dengan model Zenix terbaru ini.
Innova Zenix ini mempunyai ukuran dimensi yang lebih besar berbanding model lama, dengan 4,760 mm panjang (+20 mm), 1,795 mm tinggi dan 1,850 mm lebar (+15 mm). Lebih penting adalah pertambahan 100 mm bagi jarak antara rodanya, menjadikan 2,850 mm yang memberi kesan terhadap keluasan ruang kabin dalaman. Ini boleh dicapai kerana Zenix tidak lagi menggunakan binaan ladder frame seperti model sebelumnya, sebaliknya telah beralih menggunakan platform terkini dan maju, Toyota New Global Architecture (TNGA).
Penggunaan platform TNGA ini membawa banyak kelebihan kepada Innova Zenix. Antaranya, ia membolehkan versi hibrid turut diperkenalkan. Selain itu, Innova Zenix ini juga 170 kg lebih ringan berbanding model sebelumnya, sekaligus membolehkan kecekapan bahan apinya dipertingkatkan, serta kemampuan prestasi dan pecutan diperbaiki. Untuk suspensi, Zenix memanfaatkan jenis MacPherson struts di depan manakala di belakang menggunakan jenis torsion beam. Radius pusingan MPV ini ialah 5.67 meter, dan jarak kelegaan tanahnya pula adalah 185 mm.
Innova Zenix juga hadir dengan penampilan serba baru yang lebih menarik. Lampu utama LED dengan ciri Auto High Beam (AHB) dengan rekaan tirus serta rekaan gril yang luas dengan kemasan berkilat dan juga bahagian bampar yang lebih menonjol menyerlahkan perbezaannya berbanding yang lama. Untuk rim, kedua-dua versi yang ditawarkan ini menggunakan saiz 18-inci, dengan profil tayar 255/50.
Bahagian belakang pula lebih cenderung untuk memperlihatkan gaya SUV dengan rekaan lebih bersegi dan ringkas, dengan lampu LED yang tirus serta cermin belakang yang lebih berpetak. Ada juga pemanas haba kabus padanya, serta pengilap cermin turut diberikan sekali. Secara keseluruhan, Zenix tampil lebih bersegi dengan penggayaan yang lebih menjuruskannya sebagai sebuah SUV.
Bahagian dalam Zenix diberikan lebih banyak sentuhan premium. Banyak permukaan lembut digunakan. Rekaan papan pemukanya ringkas, tetapi tampil elegan dengan skrin sentuh di tengah bersaiz 10.1-inci untuk kawalan infotainmen. Ia juga hadir dengan samungan Apple CarPlay tanpa wayar, dan sambungan Android Auto dengan wayar. Paparan panel instrumen untuk pemandu pula bersaiz tujuh-inci dengan warna penuh untuk memudahkan pemandu melihat paparan info pemanduan yang ada.
Corong pendingin hawa berasingan ada diberikan untuk penumpang belakang. Bagaimanapun, walaupun Zenix ini dipromosikan sebagai kenderaan dengan lapan dan tujuh-tempat duduk, barisan ketiganya hanya selesa untuk memuatkan dua penumpang dewasa dalam satu masa. Jika penumpang kanak-kanak, mungkin ia boleh menjadi selesa untuk memuatkan tiga orang. Untuk keselesaan pengguna, slot USB dan dua soket 12V turut tersedia.
Membezakan antara model V biasa dengan model hibrid adalah beberapa perkara. Pertama, tempat duduk barisan kedua: versi HEV hadir dengan kerusi kapten yang terpisah berbanding kerusi panjang biasa. Kedua, HEV mempunyai bumbung panoramik kaca yang luas yang tiada bagi versi petrol biasa. Dan ketiga, versi HEV ada pertambahan mod pemanduan — empat keseluruhannya; Normal, Power, Eco, EV — sementara versi petrol hanya ada dua: Normal dan Eco.
Perlu dinyatakan yang kerusi kapten bagi versi hibrid Zenix, walaupun memberikan ruang lebih selesa untuk penumpang, masih perlu dilaraskan secara manual. Tidak ada butang sekali sentuh atau larasan automatik untuk mengendalikannya. Ini akan memberikan kesan kepada pergerakan keluar-masuk untuk kerusi barisan ketiga, kerana memerlukan orang lain untuk melaraskannya dari luar, untuk lebih mudah. Ini satu kekurangan yang sepatutnya boleh di atasi, tambahan pula untuk sebuah MPV dengan tanda harga seperti itu.
Lagi kelebihan Innova Zenix susulan ia memanggunakan platform TNGA maju ini adalah unit jana kuasa yang melengkapinya. Ia menggunakan enjin termaju Toyota ketika ini, yang turut dikongsi bersama model-model lebih premium dan berprestasi yang lain: unit Dynamic Force M20A 2.0L empat-silinder 16-injap DOHC untuk kedua-duanya. Versi petrol model ini menjana sebanyak 174 PS pada 6,600 rpm dan 205 Nm antara 4,500 hingga 4,900 rpm.
Bagi versi hibridnya pula, Zenix dilengkapi dengan sistem janaan hibrid generasi kelima dengan Permanent Magnet Synchronous Motor bergandingan bersama enjin petrolnya. Ia jika lebih cekap kuasa dengan adanya ciri D4-S (Direct & Port Injection), serta enjin kitaran Atkinson dengan kecekapan haba 41% yang paling baik dalam kelasnya ketika ini.
Ada juga bateri 6.5 Ahr nickel-metal hydride (Ni-Mh) yang membekalkan kuasa kepada motor elektrik. Keseluruhan sistem hibrid ini memberikan janaan kuasa sebanyak 186 PS dan 206 Nm. Untuk transmisi pula, versi petrol menggunakan unit K120 Direct Shift CVT 10-kelajuan dengan Sequential Shiftmatic, yang menawarkan lebih kecekapan dan kesenyapan. Model HEV pula memanfaatkan transmisi E-CVT.
Bagi aspek keselamatan, Innova Zenix cukup mengkagumkan. Ia merupakan model pertama yang dilengkapi dengan ciri Toyota Safety Sense 3.0 (TSS 3.0). Ia antaranya terdiri daripada lima ciri utama — sistem pra perlanggaran (PCS); kawalan melayar radar dinamik (DRCC); lampu tinggi automatik (AHB); amaran penukaran lorong (LDA); bantuan mengekalkan lorong (LTA); dan bantuan papan tanda jalan (RSA).
TSS 3.0 ini menggunakan kamera dan juga radar yang terletak di gril depan untuk meningkatkan kecekapannya, terutama dalam keadaan cuaca buruk. Antara kelebihan dengan sistem baru ini adalah fungsi RSA dan DRCC-nya. Dengan mengesan papan tanda di jalan raya, kelajuan DRCC yang telah ditetapkan pada awalnya, misalnya 110 km/j, boleh dikurangkan kepada 90 km/j secara automatik sekiranya sistem mengesan papan tanda di kawasan yang memerlukannya mengurangkan kelajuan seperti itu.
Dengan ciri PCS pula, ia tidak hanya akan mengaktifkan AEB ketika berdepan dengan kenderaan, basikal atau pejalan kaki, sebaliknya ia boleh juga memberi maklum balas di persimpangan untuk menghindari perlanggaran dengan aliran trafik bertentangan arah. PSC juga telah dilengkapi dengan bantuan kecemasan stereng (ESA) dan pengurangan kelajuan dalam kelajuan rendah untuk mengelakkan perlanggaran tidak sengaja. Zenix juga dilengkapi dengan sistem peninjau titik buta dan amaran lintasan trafik di belakang.
Untuk membantu memudahkan pemandu di ruang letak kereta, peninjau pemandangan panoramik (PVM) ada tersedia, dengan paparannya boleh diubah untuk memerhatikan beberapa sudut berlainan. Selain itu, perakan video digital juga ada diberikan. Ciri keselamatan lain yang ada termasuklah enam beg udara, VSC, ABS, kawalan bantuan mula mendaki serta ISOFIX. Innova Zenix juga datang lengkap dengan sistem telematik kenderaan (VTS) sebagai standard. Sistem ini akan memudahkan pengesanan kenderaan anda sekiranya dicuri.
Untuk jaminan, Zenix datang dengan jaminan standard lima-tahun tanpa had perbatuan, dan boleh dipindahkan kepada pemilik berikutnya selagi masih dalam tempoh jaminan. bagi versi HEV pula, ia diberikan jaminan sehingga lapan-tahun (juga tanpa had perbatuan). Ia tidak hanya melibatkan jaminan untuk bateri hibrid saja, malahan termasuk juga untuk inverter dan Power Management Control ECU.
Toyota Innova Zenix 2.0L HEV 2023
Toyota Innova Zenix 2.0L V 2023
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.