Di Amerika Syarikat (AS), Toyota memperkenalkan GR Supra 45th Anniversary Edition, yang dikatakan memberi penghormatan kepada Supra Mk4. Terhad hanya 900 unit, model ini ditawarkan dalam dua warna, iaitu Mikan Blast (oren) dan Absolute Zero (putih).
Menggunakan asas daripada GR Supra varian 3.0 Premium, bahagian mekanikal model keluaran khas ini masih dikekalkan, bermula dengan enjin enam silinder 3.0 liter turbo berkuasa 387 hp dan tork 500 Nm, dan pilihan transmisi sama ada manual enam kelajuan atau automatik lapan kelajuan.
Walaubagaimanapun, ia dijadikan lebih istimewa dengan beberapa kelengkapan, seperti spoiler belakang lebih besar, yang terletak tiga inci atas penutup but. Bukan sekadar satu barang estetik, spoiler ini juga boleh dilaras untuk mendapatkan daya tolakan ke bawah (downforce) yang dimahukan.
Selain spoiler, rim 19 inci pada model ini juga dicat dengan warna hitam matte, sementara angkup brek di hadapan pula mempunyai logo GR. Di bahagian tepi kenderaan juga kelihatan terdapat pelekat dengan logo Supra, manakala di bahagian ruang enjin terdapat strut tower brace yang dicat warna oren.
Melengkapkan eksklusiviti model sambutan ulang tahun ini, di bahagian tepi papan pemukanya terdapat plat khas yang menyatakan nombor keluaran. GR Supra 45th Anniversary Edition menyertai beberapa lagi model sports keluaran khas yang dipasarkan di AS seperti edisi Launch, A91, A91-Carbon Fibre, and A91-MT
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.