Toyota GR Supra 2023 rasmi di Malaysia — kotak gear manual 6-kelajuan dan 8AT, enjin 3.0L, dari RM645k

Toyota GR Supra 2023 rasmi di Malaysia — kotak gear manual 6-kelajuan dan 8AT, enjin 3.0L, dari RM645k

Penghulu segala kereta keluaran Toyota yang memulakan barisan kenderaan GR sebelum ini, Supra tampil sebagai model tahun 2023 dengan penawaran baru selepas mula diperkenalkan pada 2019. Coupe sport GR Supra akhirnya hadir dengan transmisi manual, membawa bersamanya pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan, seperti diingin oleh peminatnya sejak pengenalan empat tahun lalu itu. Ia dijual pada harga RM645,000 bagi model manual, dan RM655,000 bagi varian automatik, harga atas jalan dan tidak termasuk insuran.

Kotak gear manual dengan enam-kelajuan yang melengkapi GR Supra 2023 dibangunkan khusus untuknya, melengkapi lagi karekter pemanduan seida ada yang diteraju oleh enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris dengan pengecas turbo twin-scroll. Dalam jelmaan terkininya, enjin 24-injap DOHC ini menghasilkan sebanyak 388 PS antara 5,800-6,500 rpm dan 500 Nm tork dari 1,800-5,000 rpm yang dihantar ke roda belakang — sebuah tetapan pemanduan sport yang didambakan ramai peminatnya.

Transmisi manual 6-kelajuan pintar ini mampu memadankan kelajuan enjin ketika penukaran gear untuk memberikan peralihan yang lebih lancar dan rasa pemanduan sporty. Dengan laju maksimum dihadkan secara elektronik pada 250 km/j, pecutan 0-100 km/j versi manual ini memberikan bacaan 4.4 saat, sedikit lambat berbanding 4.1 saat untuk transmisi automatik sebelum ini.

Toyota GR Supra 2023 rasmi di Malaysia — kotak gear manual 6-kelajuan dan 8AT, enjin 3.0L, dari RM645k

Selain memberi pilihan tambahan kepada versi automatik lapan-kelajuan, jurutera GR Supra manual ini turut memperhaluskan lagi karekter stereng dan suspensinya dengan menambahbaik bushing bagi tiang penstabil serta melakukan talaan semula suspensi boleh ubah adaptifnya. Sistem kawalan casis juga telah dilaraskan semula untuk memberikan prestasi kendalian dan keselesaan yang lebih baik.

Selain mempunyai agihan berat dalam nisbah 50:50, dinamik pemanduan yang cemerlang GR Supra diperkayakan lagi dengan suspensi pembolehubah adaptif dan slip-differential kawalan elektronik. Pemandu bagaimanapun masih boleh memilih tetapan sendiri untuk melanjutkan kemampuan prestasi serta meminimumkan campur tangan bantuan elektronik kereta ini. Rim aloi diperkukuh 19-inci adalah standard, dengan tayar 255/35 di depan dan 275/35 di belakang.

Sebagai sebuah kereta sport, ruang dalamannya direka untuk memberi tumpuan lebih kepada pemandu. Antara perincian yang diberikan termasuklah kerusi balutan kulit, head-up display, kerusi sport larasan elektrik, cermin pandang belakang elektrokromatik dan sistem audio JBL dengan 12-pembesar suara.

Dengan prestasi yang mengkagumkan GR Supra, kelengkapan keselamatannya juga perlulah selari. Teknologi yang melengkapi model ini termasuklah sistem keselamatan aktif yang akan membantu pemandu bila diperlukan. Kawalan melayar pula ada untuk varian manual, manakala versi automatic ada pertambahan kemampuan adaptif untuk ciri berkenaan.

Turut ada ialah ciri lain seperti sistem pemantau tekanan tayar, sensor parkir pintar dengan fungsi brek kecemasan dan peninjau titik buta dengan amaran lintasan trafik di belakang. Pilihan warna badan yang tersedia ada lapan — Prominence Red, Lighting Yellow, White Metallic, Black Metallic, Dawn Blue Metallic, Volcanic Ash Grey Metallic, Matte Avalanche White Metallic dan Matte Storm Grey Metallic.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

 

Add a comment

required

required