Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah mengesahkan kerajaan masih mengkaji penguatkuasan bagi penggunaan kanak-kanak atau Child Restrain System (CRS) di dalam kenderaan biarpun usul mengenainya telah diluluskan di Dewan Rakyat sebelum ini,
“Walaupun usul penggunaan kerusi khas kanak-kanak itu sudah diluluskan, kita masih mengambil pendekatan advokasi bagi mendidik orang ramai. Kita kaji dari pelbagai aspek… kalau keluarga itu anak ramai, saiz kereta besar dan sebagainya. Jadi buat masa ini kita lebih fokus kepada advokasi berbanding penguatkuasaan,” katanya ketika melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya HRAA oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Gombak, semalam.
Menerusi kempen keselamatan tersebut, ia juga memfokuskan kepada kepentingan pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak. Di mana kerusi tersebut dapat membantu kanak-kanak dengan cara mengurangkan risiko kecederaan sekiranya berlaku kemalangan jalan raya.
“Ini kerana statistik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 1,252 kes kemalangan maut membabitkan kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah dilaporkan dari 2012 hingga 2021,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Tambah beliau, pihaknya memandang serius isu itu dan mengakui ia perlu ditangani segera menerusi penguatkuasaan berterusan dan advokasi kepada pemandu yang tidak menggunakan CRS.
“Orang ramai dinasihatkan supaya membeli kerusi CRS yang melepasi standard piawaian ISO. Ini kerana aksesori itu membantu kanak-kanak semasa berlakunya pelanggaran dengan mengurangkan risiko kecederaan sekiranya berlaku kemalangan.
“Kerajaan berharap kempen kali ini dapat memberi kesedaran khususnya kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil tentang betapa pentingnya penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak,”katanya.
Pada Disember 2019, kerajaan telah mengumumkan untuk menguatkuasakan tindakan saman selepas tamat tempoh enam bulan pendidikan kesedaran penggunaan kerusi berkenaan mulai Januari 2020. Menurut Menteri MoT ketika itu, Anthony Loke, tindakan saman perlu dilaksanakan untuk memberi kesedaran kepada rakyat mengenai kepentingan menggunakan CRS untuk keselamatan. Namun sehingga kini, ternyata penguatkuasaan mengenai perkara ini masih samar-samar.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.