Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi mengatasi masalah lambakan calon yang terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan lesen memandu di institut memandu (IM) di seluruh negara. Di mana pasukan berkenaan akan dianggotai MoT dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kata Menteri MoT Anthony Loke.
Katanya lagi, setiap tahun dianggarkan kira-kira 600,000 pelajar mendaftar ujian memandu bagi mendapatkan lesen lesen motosikal kelas B2 dan D. Namun demikian, lambakan itu terjadi disebabkan penutupan IM susulan pandemik Covid-19, laporan Bernama.
“Backlog panjang bukan kerana mereka tidak mendapat lesen memandu tetapi masa menunggu itu lama. Ada yang menunggu berbulan-bulan untuk menduduki ujian. Saya sudah arahkan MoT untuk melihat cara yang boleh kita bantu untuk cepatkan proses ujian memandu.
“Selain itu, kita ambil satu pertimbangan untuk membantu pemain industri IM kerana umum diketahui semasa Covid-19 mereka tidak boleh buat apa-apa. Kebanyakan kenderaan yang masuk ke tahun ketujuh sudah tidak boleh dipakai dan menambahkan beban pengusaha dan tidak adil,” katanya.
Malah bagi menggalakkan IM melabur dalam kenderaan baharu, Loke berkata pemeriksaan kenderaan dikecualikan untuk tahun pertama dan kedua.
“Untuk tahun-tahun seterusnya hingga tahun ke-10, pemeriksaan berkala yang diwajibkan adalah setahun sekali. Namun pelaksanaannya dijangka akan diumumkan dalam tempoh dua bulan lagi,” jelasnya.
Menurutnya, secara dasar selepas lima tahun kenderaan itu tidak boleh digunakan namun kementerian mengambil satu pengimbangan untuk membantu industri kerana semasa dua tahun berdepan pandemik Covid-19, kenderaan itu tidak dapat digunakan. Walau bagaimana pun, katanya, sekiranya undang-undang itu diteruskan, ia akan menambah beban kepada industri untuk membeli kenderaan baharu.
“Kementerian meletakkan tanggungjawab keselamatan kepada pihak industri dan sekiranya mereka gagal menjaga kenderaan dan berlaku kemalangan, MoT tidak akan teragak-agak mengambil tindakan,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.