Harga jualan bagi BYD Dolphin di Thailand akan diumumkan minggu depan, 6 Julai sempena pelancaran rasminya. Serahan pula akan dimulakan dari 17 Julai, menurut laporan Headlightmag. Model EV berkenaan mula ditunjuk di sana ketika Bangkok International Motor Show, dan akan ditawarkan dalam dua varian.
Pilihan paling asas ialah Standard Range yang menampilkan sebuah motor elektrik di depan yang membekalkan 95 PS (94 hp atau 70 kW) dan 180 Nm tork: pecutan 0-100 km/j dalam masa 12.3 saat. Varian ini menggunakan bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) yang dibangunkan oleh BYD sendiri, dengan kapasiti tenaga 44.92 kWh — memberikan jarak 410 km dengan standard NEDC.
Untuk pengecasan, Standard Range menyokong input maksimum 7 kW untuk AC, sementara untuk DC dengan 60 kW, disertakan sekali ciri vehicle-to-load (V2L) untuk menjadi sumber kuasa bagi peranti dan aksesori lain. Menurut laporan yang sama, varian Standard Range hadir dalam pilihan warna badan tunggal.
Varian paling tinggi pula ialah Extended Range yang menerima dwi-warna badan serta kapasiti bateri yang lebih besar, 60.48 kWh. Ini memberikan jarak perjalanan sehingga 490 km, dengan motor elektrik yang lebih berkuasa yang membekalkan 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 310 Nm: 0-100 km/j dalam tujuh saat. Untuk pengecasan AC, ia dalam kadar yang sama dengan varian rendah, tetapi untuk DC kadarnya mampu menampung sehingga 80 kW — sokongan V2L adalah standard.
Dari segi kelengkapan, Dolphin hadir dengan lampu utama LED adaptif, cermin sisi dengan pemanas, pilihan rim 16 atau 17-inci, kluster instrumen digital lima-inci, material kulit buatan, sistem infotainmen dengan skrin sentuh 12.8-inci, sokongan Apple CarPlay, sistem tanpa kunci, pendingin automatik, bumbung kaca panoramik dan pengecas telefon tanpa wayar.
Ciri keselamatan pula terdiri daripada sistem pasif biasa (ABS, kawalan cengkaman, ESC) dan disertai oleh ciri aktif seperti kawalan melayar adaptif, brek autonomous kecemasan, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik belakang serta amaran dan penghindaran penukaran lorong.
Dolphin juga pernah dipertontonkan di Malaysia Disember tahun lalu, dan dijangka akan dilancarkan di sini pada suku ketiga 2023. Di China, harga jualan Dolphin berada di bawah Atto 3 dan sebelum ini dijangka dijual sekitar 799,999 baht (sekitar RM105k) di Thailand. Atto 3 pula dijual 1.0999 juta baht (sekitar RM144k) di sana.
Jangkaan harga paling menarik untuk Dolphin di Malaysia ialah RM100k, yang meletakkannya sebagai pesaing paling dekat Neta V, yang ketika ini menjadi model EV paling mampu milik di Malaysia dengan harga RM99,800.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.