Selepas muncul juara dalam penampilan sulungnya di perlumbaan rali Asia Cross Country Rally (AXCR) tahun lalu, pasukan Mitsubishi Ralliart sekali lagi mengesahkan penyertaannya untuk AXCR edisi tahun ini. Seperti sebelum ini, pasukan tersebut diketuai oleh pengarahnya iaitu bekas juara Rali Dakar dua kali, Hiroshi Masuoka.
Pembentukan pasukan juga masih sama di mana pasukan tersebut dimiliki oleh Tant Sport Thailand, dan bantuan teknikal diberikan oleh jurutera dari Mitsubishi Motors Japan. Namun jentera Triton T1 yang digunakan pada tahun lalu kini tidak lagi bertugas, tetapi digantikan dengan trak pikan Triton generasi baharu.
Trak produksi berkenaan masih lagi belum didedahkan secara rasmi, dan hanya akan membuat kemunculan sulungnya pada 26 Julai ini. Jadi ini menunjukkan bahawa pembangunan trak produksi tersebut berjalan sekali dengan versi yang diubahsuai untuk perlumbaan ini.
Model generasi baharu ini menggunakan platform baharu sepenuhnya yang tidak sama dengan model sedia ada. Platform berkenaan diasaskan dari casis ladder frame yang digunakan pada Nissan Navara (sekutu Mitsubishi di bawah Pakatan Renault Nissan Mitsubishi) tetapi telah menerima kejuruteraan semula dari jenama tiga berlian berkenaan menggunakan kepakarannya dalam menghasilkan kenderaan off-road.
Untuk berlumba dalam AXCR, model generasi baharu ini masih dibangunkan dengan undang-undang spesifikasi FIA Group T1 seperti model sebelumnya. Jadi bermakna ia masih berkongsi sejumlah besar komponen dan peralatan yang sama seperti model produksi, dan dibekalkan dengan beberapa peralatan perlumbaan.
Mitsubishi masih belum mengumumkan spesifikasi enjin untuk Triton generasi baharu ini, namun untuk perlumbaan enjin tersebut dibangunkan bersama HKS. Bagi versi sebelum ini, enjin 2.4 liter DOHC MIVEC Turbodiesel yang digunakan untuk perlumbaan tersebut tidak menghasilkan sebarang kuasa tambahan, tetapi ia menerima sentuhan blueprinting dari HKS yang memberikan respon yang lebih baik.
Selain itu Triton 2023 Group T1 ini juga menerima unit LSD dari Cusco pada gandar hadapan dan belakang, set penyerap hentak boleh laras dari Cusco bagi disesuaikan dengan laluan off-road sepanjang rali berkenaan, set rim aluminium aloi dari Work bersama tayar Yokohama Geolander M/T G003.
Pasukan Mitsubishi Ralliart sudahpun menjalankan ujian ketahanan terhadap trak pikap tersebur dari 19 hingga 23 Jun lalu. Ujian yang dibuat di laluan off-road berhampiran Taman Negara Khao Yai, Thailand tersebut menghidangkan suasana dan keadaan yang menyerupai laluan yang akan digunakan di perlumbaan sebenar AXCR nanti.
Dalam ujian selama lima hari serta dengan jarak 800 km berkenaan, bukan hanya ketahanannya diuji, malah pasukan Mitsubishi Ralliart turut dapat melakukan talaan muktamad yang akan digunakan dalam perlumbaan sebenar kelak.
“Diasaskan dari kekuatan, prestasi pengendalian, kestabilan di atas permukaan jalan yang lasak, dan keselesaan asal Triton serba baharu, ia ditambahbaik pada jentera rali sebenar. Selain itu, pengecas turbo turut telah ditambahbaik bagi meningkatkan respon untuk kesemua peringkat tahap rali dari rpm rendah hingga tinggi, menghasilkan jentera rali berkuasa yang mampu dikendali dalam apa jua keadaan jalan,” kata Hiroshi Masuoka.
“Kami telah menjalankan ujian ketahanan dengan litar yang lebih sukar berbanding keadaan rali sebenar, tetapi jentera yang diuji mampu dipandu sekitar 800 km tanpa masalah besar, meyakinkan kami bahawa prestasinya adalah melangkaui jangkaan dan bakal memberikan gelaran juara untuk kali kedua berturut-turut,” tambah Masuoka-san lagi.
AXCR 2023 akan bermula pada 13 Ogos sehingga 19 Ogos nanti. Berbanding tahun lalu yang menyajikan laluan sekitar 1,700 km, tahun ini semua peserta harus menghabiskan pengembaraan dalam jarak sejauh 2,000 km.
Sebanyak enam peringkat laluan perlu ditempuhi oleh kesemua pelumba yang bermula di Pattaya, Thailand, dan akan merentas Pachinburi, Surin, Ubonratchani seterusnya menuju ke sempadan Laos. Dua peringkat lagi akan dilangsungkan di Laos dan perlumbaan akan berakhir di Pakse juga di Laos.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.