Mei lalu, Perodua mempamerkan rekaan konsep Electric Motion Online (EM-O) dalam bentuk model skala ketika Malaysia Autoshow 2023, sekaligus memberi petunjuk kepada model EV masa hadapan syarikat itu. Ada juga yang menyatakan rekabentuk berkenaan merupakan petunjuk juga kepada Myvi generasi baru nanti.
Selari dengan itu, dalam hasil terbarunya, Theophilus Chin telah membayangkan model konsep EV Perodua itu sebagai sebuah kereta produksi yang sudah bersedia untuk dipasarkan. Di sini, ia di namakan MyEV. Garis dari model EM-O jelas dikekalkan, dan diberikan rekaan gril dan bampar yang lebih konvensional.
Di belakang, jalur lampunya juga masih dikekalkan, disertai rekaan lampu yang lebih besar dan rekaan bampar konvensional. Bahagian tingkap pula sedikit lebih kecil, disebabkan garis badannya yang lebih tinggi dalam rekaan ini.
Model konsep EM-O memang menggunakan asas Myvi. Spesifikasi asas yang diberikan ketika ini menunjukkan ukuran yang terlibat ialah 3,895 mm panjang, 1,735 mm lebar dan 1,515 mm tinggi, dengan jarak antara roda 2,500 mm — ini sama seperti ukuran Myvi.
Cadangan output elektrikalnya juga menyamai Myvi; 95 PS dan 121 Nm tork, dengan 0-100 km/j dalam 10 saat dan laju maksimum 160 km/j. Bateri 50 kWh memberi jarak perjalanan sejauh 300-350 km kepada EMO, dan dengan pengecasan DC — sehingga 300 kW seperti dinyatakan Perodua ketika itu — hanya memerlukan 20 minit untuk mencapai kadar 80% SoC.
Perodua juga memaklumkan yang model sebenar bagi konsep EMO ini akan dibangunkan menjelang hujung tahun ini atau awal tahun depan, dan akan turut mempamerkan rekaan dalamannya sekali. Adakah rekaan itu nanti ada persamaan dengan bayangan rekaan yang ditunjukkan ini?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.