Mac lalu kita sudah menyaksikan Kawasaki Eliminator 400 diperkenalkan buat kali pertama kepada dunia bermula dengan pasaran Jepun dan kemudiannya tidak lama selepas itu muncul di Bangkok International Motor Show 2023, dengan harga jualan 224,900 baht (RM29,175).
Sekarang, model cruiser itu sudah mula memasuki pasaran Amerika Syarikat (AS), tetapi dipanggil sebagai ELiminator 450. Ini kerana enjin dua silinder sama yang diambil daripada model Ninja itu telah dinaikkan kapasitinya menjadi 451 cc melalui stroke yang dipanjangkan, sementara bore masih sama.
Kuasa maksimum Eliminator 450 tidak didedah, tetapi ia dijangka boleh mencecah 52 hp, manakala tork maksimum yang tertulis adalah 43 Nm. Bagi versi 400, cruiser ini menghasilkan 47 hp pada 10,000 rpm dan tork 37 Nm pada 8,000 rpm.
Kelengkapan lain pula adalah sama sahaja, termasuk fork 41 mm, dua penyerap hentak di belakang, padanan rim 18 inci di hadapan dan 16 inci di belakang, brek cakera hadapan 310 mm di hadapan dan 220 mm di belakang, tangki bahan api 13 liter serta panel intrumen digital LCD yang boleh disambung kepada telefon pintar. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 176 kg dan tinggi tempat duduk adalah 735 mm.
Model pasaran AS ini dijual dalam beberapa versi, bermula dari yang tidak mempunyai sistem ABS, berharga USD6,649 (RM30,934), hinggalah versi ABS SE yang berharga USD7,249 (RM33,725). Selain warna yang lebih menyerlah, versi SE juga didatangkan dengan perumah lampu hadapan, balutan tempat duduk khas, pelindung getah pada fork dan soket pengecas USB.
GALERI: Kawasaki Eliminator 450
GALERI: Kawasaki Eliminator SE 450
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.