Baru dilancarkan untuk pasaran Jepun, Kawasaki Eliminator 400 membuat kejutan dengan muncul di Bangkok International Motor Show 2023 dan dilancarkan untuk pasaran Thailand pada harga 224,900 baht (RM29,175).
Eliminator 400 adalah sebuah cruiser baru daripada Kawasaki, dan ia menggunakan enjin yang sama dengan Ninja 400 dan Z400, iaitu unit dua silinder selari DOHC 399 cc, bersama transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa maksimum 47 hp pada 10,000 rpm dan tork 37 Nm pada 8,000 rpm.
Menggunakan casis trellis besi inspirasi daripada Ninja 400, Eliminator datang dengan bentuk yang panjang dan rendah, tetapi dikatakan masih mengekalkan kemampuan prestasi aktif seperti Ninja. Berat keseluruhannya adalah 176 kg, dengan tangki bahan api berkapasiti 13 liter dan tinggi tempat duduk 735 mm.
Rim motosikal ini datang dengan saiz berbeza, iaitu 18 inci dibalut tayar 130/70 di hadapan dan 16 inci dengan tayar 150/80 di belakang, dan ia dipegang oleh masing-masing fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang. Brek di kedua-dua bahagian adalah menggunakan tetapan cakera.
Kelengkapan lain Eliminator 400 adalah ringkas sahaja dan ia turut diberi dengan panel instrumen digital penuh berbentuk bulat yang boleh disambung kepada telefon pintar melalui bluetooth dan aplikasi Kawasaki Rideology.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.