BYD Cars Malaysia sekarang ini mungkin sedang bersedia untuk melancarkan model baru apabila mereka dilihat menyiarkan satu teaser di laman media sosial. Apa yang ditunjukkan cuma video laut dari atas, dengan tajuk “The New Electric Wave.”
Apa yang boleh kita tafsirkan, ini mungkin adalah untuk salah satu model dari siri Ocean, besar kemungkinan adalah BYD Dolphin kerana sekarang ini ia sedang rancak dilancar di beberapa negara pemanduan sebelah kanan termasuk Thailand dan Singapura.
Dalam versi Standard Range, BYD Dolphin menggunakan motor elektrik tunggal bersama bateri Blade 44.9 kWh untuk menghasilkan kuasa sehingga 94 PS dan tork 180 Nm untuk memacu roda hadapan. Ia boleh dicas dengan sumber AC sehingga 7 kW dan 60 kW untuk pengecas pantas DC. Jarak gerak untuk versi ini adalah 410 km.
Melihat kepada BYD Dolphin Extended Range pula, ia mendapat motor yang lebih berkuasa (204 PS/310 Nm), juga untuk memacu roda hadapan, dan bateri Blade 60.48 kWh yang boleh dicas sehingga 7 kW AC dan 80 kW DC. Jarak gerak versi ini adalah 490 km.
Memandangkan BYD Atto 3 dilancarkan di Malaysia dalam dua versi iaitu Standard dan Extended Range, adakah kita juga akan menyaksikan pilihan yang sama untuk Dolphin ini? Berapakah harganya anda rasa?
GALERI:BYD Dolphin di Bangkok International Motor Show 2023
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.