Modenas Ninja 650 dan Z650 2023 tiba di Malaysia – kawalan cengkaman KTRC, meter TFT, dari RM35k

Modenas Ninja 650 dan Z650 2023 tiba di Malaysia – kawalan cengkaman KTRC, meter TFT, dari RM35k

Dua motosikal 650 cc Kawasaki yang dijenamakan semula sebagai Modenas iaitu Ninja 650 dan Z650 versi terbaru tahun 2023 kini tiba di Malaysia, dilancarkan oleh Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) pada harga masing-masing bermula RM34,500 dan RM35,200 tidak termasuk insurans. Dua model ini diperkenalkan kepada dunia hujung tahun lepas dan menerima pelbagai peningkatan untuk menjadikannya lebih moden.

Paling utama adalah pada bahagian keselamatan, di mana dua model ini sekarang menerima tambahan sistem kawalan cengkaman Kawasaki Traction Control (KTRC), sebagai tambahan kepada sistem ABS dual-channel. Sistem ini mempunyai tiga mod yang boleh dipilih, termasuk satu adalah untuk ditutup sepenuhnya.

Kemudiannya di bahagian kokpit terdapat panel paparan TFT 4.3 inci berwarna penuh, yang bukan setakat boleh menunjukkan informasi penting motosikal, tetapi juga boleh disambung kepada telefon pintar melalui aplikasi Kawasaki Rideology untuk akses kepada beberapa lagi fungsi tambahan.

Modenas Ninja 650 dan Z650 2023 tiba di Malaysia – kawalan cengkaman KTRC, meter TFT, dari RM35k

Untuk enjin, unit dua silinder selari 649 cc sama seperti sebelum ini telah menerima beberapa perubahan termasuk pada bahagian intake dan juga ekzos untuk menjadikan ia melepasi tahap emisi Euro4. Kuasa maksimum kedua-dua model ini adalah sama, iaitu 50.2 hp pada 8,000 rpm, tetapi tork Z650 adalah sedikit lebih dengan catatan 65.7 Nm pada 6,500 rpm, sementara Z650 adalah 64 Nm pada 6,700 rpm.

Dari enjin, kuasa dialihkan kepada roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan, bersama klac jenis assist & slipper serta pacuan rantai. Kelengkapan lain dua model ini adalah termasuk fork teleskopik dan brek cakera berkembar 300 mm di hadapan, monoshock serta brek cakera tunggal di belakang, dan tangki bahan api 15 liter. Disebabkan panel badan lebihan, Ninja 650 mempunyai berat yang lebih, iaitu 193 kg, berbanding 188 kg bagi Z650.

Model terbaru ini juga menerima beberapa perubahan pada gayanya, dengan antaranya pada bahagian penghadang angin hadapan, tempat duduk serta fairing bagi Ninja 650, dan perumah lampu serta panel tepi bagi Z650, selain grafik terkini. Selain daripada itu, semua lampu model ini juga adalah menggunakan LED, termasuk lampu utama.

Ninja 650 2023 ditawarkan dalam warna Metallic Matte Graphenesteel Gray pada harga RM35,200 dan Lime Green/Ebony pada harga RM35,900, sementara Z650 2023 disediakan dalam pilihan warna Metallic Spark Black pada harga RM34,500 dan Metallic Matte Graphenesteel Gray berharga RM35,200. Semua harga ini tidak termasuk insurans dan diberikan dengan jaminan dua tahun tanpa had batuan serta bantuan tepi jalan percuma.

GALERI: Kawasaki Ninja 650 2023

GALERI: Kawasaki Z650 2023

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required