Data dari Persatuan Pengeluar Automobil China mendedahkan bahawa negara berkenaan telah mengeksport sejumlah 2.14 juta kenderaan untuk separa pertama 2023. Berbanding tempoh sama tahun lalu, jumlah tersebut dilihat telah naik sebanyak 75.7%.
Dari jumlah keseluruhan tersebut, kenderaan tenaga baharu (NEV) atau kenderaan elektrik (EV) dilihat bertumbuh dengan begitu pesat, naik 160% atau 534,000 unit. Manakala majoriti kenderaan yang dieksport pula adalah dari kategori kenderaan penumpang dengan jumlah 1.78 juta unit, atau 88.4% lebih banyak berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menurut laporan CarNewsChina, China dijangka akan mengeksport lebih dari empat juta kenderaan menjelang akhir tahun ini. Pada suku pertama 2023, China sudahpun memintas Jepun sebagai pengeksport kereta terbanyak di dunia.
Tahun lalu jumlah eksport kenderaan China sudah pun melebihi 3 juta unit setahun, manakala setahun sebelum itu jumlah eksport kenderaan tahunan negara berkenaan buat pertama kalinya melebihi dua juta unit selepas sekian lama hanya berlegar sekitar satu juta unit.
Tujuh syarikat automotif China berjaya mengeksort lebih dari 100,000 unit kenderaan untuk enam bulan pertama tahun ini, iaitu SAIC, Chery, Tesla, Changan, Great Wall Motor (GWM), Geely dan Dongfeng. Antara jenama yang menyerlah adalah Chery dengan peningkatan eksport mencecah 394,000 unit atau naik 170% berbanding tahun lalu, dan juga GWM dengan jumlah eksport 124,000 kenderaan atau naik 97.3% berbanding tempoh sama 2022.
Manakala BYD pula menunjukkan peningkatan eksport yang sangat tinggi untuk enam bulan pertama 2023, meningkat sebanyak 1,060% berbanding tempoh sama tahun lalu dengan jumlah eksport mencapai 81,000 unit.
Manakala Tesla yang mengilangkan kenderaannya di kilang Giga Shanghai telah mengeksport sebanyak 182,000 kenderaan, seterusnya menjadi jenama ketiga terbesar yang mengeksport kenderaan di China, atau mewakili satu pertiga jumlah kenderaan tenaga baharu yang dieksport di negara berkenaan.
Antara pasaran-pasaran utama yang menerima kenderaan-kenderaan yang dieksport dari China ini termasuk Asia, Eropah dan Amerika Latin. Manakala tiga negara utama yang menerima kenderaan penumpang dari China adalah Rusia, Mexico dan Belgium. Untuk kenderaan tenaga baharu pula, tiga negara utama yang mengimport model-model dari China adalah Belgium, United Kingdom dan Thailand.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.