DRB-Hicom dan Geely bekerjasama tarik pelaburan ke dalam AHTV — sasar RM32 bilion nilai pelaburan

DRB-Hicom dan Geely bekerjasama tarik pelaburan ke dalam AHTV — sasar RM32 bilion nilai pelaburan

Melalui persidangan Global Investors & Vendors Convention 2023 anjuran Proton, DRB-Hicom dan Zhejiang Geely Holding (Geely) berganding bahu untuk menarik pelaburan terhadap Automotive High Tech Valley (AHTV), sebagai perkembangan susulan daripada MoU yang dimeterai pada April tahun lalu.

AHTV disasarkan untuk menjadi hab bagi pengeluaran Next Generation Vehicles (NxGV) seperti yang digariskan di bawah Dasar Automotif Nasional 2020.

Persidangan yang diadakan di Kuala Lumpur itu melibatkan lebih dariada 200 peserta yang terdiri daripada pegawai agensi kerajaan, serta pihak pengurusan DRB-Hicom, Geely dan Proton serta vendor tempatan dan 42 pembekal automotif dari China. Majlis turut dihadiri oleh Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

Persidangan berkenaan juga tidak hanya bertindak sebagai platform untuk mempertemukan vendor dan pembekal tempatan dan antarabangsa, tetapi juga bertujuan untuk memperlihatkan perkembangan yang sedang berlaku di AHTV yang bertempat di Tanjung Malim. Interaksi juga berlangsung untuk menjelaskan insentif yang diberikan oleh kerajaan serta kelebihan bagi syarikat yang berhasrat untuk menjalankan perniagaan di sana.

Matlamatnya adalah untuk menjadikan AHTV sebagai pusat kajian dan pembangunan bagi komponen automotif teknologi yang diiktiraf di peringkat global, yang termasuk di dalamnya kajian universiti yang disasarkan untuk memperluas kemampuan pekerja automotif Malaysia dan membantu negara menjadi pelopor dalam pendidikan kejuruteraan automotif, teknologi maklumat, kepintaran buatan dan pembangunan perisian.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom yang juga Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar, persidangan berkenaan adalah satu daripada usaha untuk menarik pelaburan asing ke dalam negara malalui AHTV, dengan sasaran pelaburan berjumlah RM32 bilion untuk projek berkenaan.

“Usaha bersama serta minat mendalam yang ditunjukkan oleh vendor dari China akan membantu menarik sokongan terhadap projek berkenaan daripada kerajaan China, yang berupaya membawa kepada lebih banyak pelaburan ke dalam AHTV dan Malaysia,” ujarnya.

“Usaha sama Geely dengan Proton dan sokongan kedua-duanya terhadap projek ini telah menampakkan hasil melalui beberapa pelabur dan pembekal komponen beroperasi di Tanjung Malim, dan ekosistem teknologi tinggi mereka pastinya akan memainkan peranan penting dalam memajukan lagi projek berkenaan ke hadpaan,” tambah beliau.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required