Mungkin ramai yang kagum bagaimana cepatnya pengeluar automotif dari Vietnam, VinFast bergerak – baru ditubuhkan pada 2017, dan kini telahpun menjual model elektrik penuh (EV) ke pasaran Amerika Syarikat. Namun dari segi jualan sebenar, VinFast nampaknya mungkin akan berhadapan dengan masalah pada masa akan datang.
Menurut laporan CarScoop yang memetik sumber dari Automotive News, VinFast hanya dapat mendaftarkan sebanyak 128 unit SUV EV baharunya iaitu VF8 di Amerika Syarikat dari Januari hingga Mei tahun ini. Syarikat berkenaan kini mempunyai banyak stok yang tidak terjual kerana 3,000 unit VF8 tersebut telah dibawa masuk ke Amerika Utara pada Mac lalu.
Ketika diperkenalkan, VF8 dijual dalam versi City Edition di pasaran Amerika Syarikat dengan harga USD55,500 (RM252k) dan menawarkan jarak gerak sejauh 333 km.
Namun SUV tersebut mendapat kritikan dari banyak media-media di Amerika Syarikat yang telah memandu ujinya. VF8 City Edition kemudiannya diperhalusi lagi dan harganya diturunkan kepada USD46,900 (RM213k).
Walau bagaimanapun, ada beberapa EV lagi yang dilaporkan dijual dengan jumlah yang lebih rendah dari VinFast VF8 ini, antaranya Jaguar I-Pace kerana ia sudah lama dalam pasaran dan juga Mazda MX-30 EV kerana hanya menawarkan jarak gerak sejauh 161 km.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.