Honda Malaysia mengumumkan bahawa tempahan bagi Honda City facelift 2023 telah pun dibuka, dan ia dijangka bakal dilancarkan pada suku ketiga tahun ini. Sedan segmen-B yang dipertingkatkan ini telah pun dilancarkan di India serta Thailand pada awal bulan ini.
Buat masa ini, kita ditunjukkan dengan varian e:HEV RS, dan Honda menyatakan bahawa model facelift ini lebih panjang berbanding sebelumnya iaitu mencecah 4,589 mm (+36 mm), dan masih mengekalkan ukuran yang sama bagi lebar (1,748 mm), tinggi (1,467 mm) dan jarak roda (2,600 mm).
Jika melihat City baharu yang dilancarkan di negara jiran, ada perubahan pada rekannya termasuk menerima bampar hadapan yang baharu dengan menampilkan lampu kabus yang disemak semula serta kemasan tambahan (untuk simulasi kemasukan udara) pada sisi jejaring honeycomb. Rim aloi 16-inci masih dikekalkan tetapi diberikan rekaan yang baharu.
Sistem hibrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) rekaan Honda masih dikekalkan, dengan roda hadapan dipacukan oleh motor elektrik berkadar 109 PS (107 hp atau 80 kW) dan tork 253 Nm. Kuasa elektrik disalurkan dari bateri lithium-ion yang dicas menerusi motor elektrik kedua yang disambungkan ke enjin 1.5 liter naturally-aspirated DOHC i-VTEC empat-silinder.
Penjana kuasa ini menghamburkan kuasa 98 PS (97 hp atau 72 kW) dan tork 127 Nm dengan padanan transmisi kelajuan-tunggal (E-CVT) yang menyalurkan pacuan ke roda pada kelajuan tertinggi di mana ia lebih efisien.
Sebagai tambahan kepada penjana kuasa hibrid, City ini juga terus menggunakan unit 1.5 liter NA empat-silinder DOHC i-VTEC dengan 121 PS (119 hp atau 89 kW) dan 145 Nm. Ia dipadankan secara eksklusif dengan CVT dan diberikan untuk varian bukan-hibrid.
Buat setakat ini, Honda Malaysia masih belum mendedahkan perincian penuh kelengkapan bagi setiap varian, namun mengesahkan ia diberikan kelengkapan Honda Sensing untuk sistem bantuan pemandu yang ditambahbaik. Di mana City facelift terkini bakal diberikan Low Speed Follow (LSF) dan Lead Car Departure Notification (LCDN), yang bekerjasama dengan Kawalan Kelajuan Adaptif sedia ada.
Lain-lain ciri yang masih diberikan termasuklah Forward Collision Warning (FCW), Collision Mitigation Braking System (CMBS atau brek kecemasan sendiri), Lane Keep Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM), Lane Departure Warning (LDW) dan Auto High Beam (AHB).
Kini anda boleh menempah City baharu menerusi wakil pengedar rasmi atau menerusi perkhidmatan pra-tempahan kereta secara dalam talian yang boleh diakses melalui aplikasi HondaTouch. Honda Malaysia turut berkata, sejak City generasi kelima dilancarkan pada Oktober 2020, sebanyak 68,600 unit telah terjual, Bagi separuh pertama 2023, sebanyak 10,000 unit sedan segmen-B ini telah dihantar kepada para pelanggan.
GALERI: Honda City facelift 2023 (pasaran Thailand)
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.