Boon Siew Honda Sdn Bhd memperkenalkan Vario 160 Repsol Edition untuk pasaran Malaysia sebagai tambahan kepada versi biasa yang dilancarkan November tahun lalu. Di dalam siaran akhbar, versi istimewa ini diberitahu hanya akan dikeluarkan sebanyak 2,000 unit, dan dijual pada harga RM10,498 tidak termasuk insurans. Ini sekaligus menjadikan harganya RM500 lebih tinggi berbanding harga Vario 160 biasa sewaktu pelancaran.
Seperti yang boleh dilihat, keistimewaan model ini adalah pada grafiknya, yang menggunakan tema Repsol dengan gabungan warna putih dan oren, sementara bahagian lain tidak diubah dan masih sama seperti Vario 160 yang lain.
Ia dipacu oleh enjin satu silinder penyejukan cecair 157 cc, mampu menghasilkan kuasa 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm, dihantar kepada roda belakang melalui transmisi CVT. Rim 14 inci pada bahagian hadapan dan belakang Vario 160 masing-masing dibalut tayar 100/80 dan 120/70.
Untuk pasaran Malaysia, Vario 160 datang secara standard dengan sistem brek ABS, tetapi hanya untuk roda hadapan. Roda belakang walaupun tidak mempunyai ABS, masih dilengkapi dengan sistem cakera. Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan satu penyerap di belakang.
Kelengkapan lain yang terdapat pada Vario 160 adalah termasuk semua lampu jenis LED, kunci pintar, soket pengecas USB Type A, ruang simpanan bawah tempat duduk 18 liter serta panel instrumen digital. Tangki bahan api berkapasiti 5.5 liter.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.