Selepas dilancarkan secara rasmi, tersebar berita bahawa model pertama Tesla yang dijual secara rasmi oleh Tesla Malaysia iaitu SUV EV Tesla Model Y telah pun ditempah sebanyak 10,000 ribu unit. Apa yang menghairankan, angka berkenaan tidak disebut secara rasmi oleh Tesla ketika berlangsungnya majlis pelancaran yang dibuat di Pavilion KL semalam.
Dalam satu laporan akhbar New Straits Times, Tesla Malaysia telah pun mengesahkan bahawa angka tempahan yang tersebar tersebut adalah berita palsu.
“Angka sebenar tempahan masih tidak didedahkan, namun Tesla memberi jaminan kepada orang ramai bahawa minat terhadap Model Y adalah kukuh dan menghargai sokongan daripada komuniti pelanggan kami yang semakin meningkat di Malaysia,” kata Pengarah wilayah Tesla Isabel Fan kepada akhbar berkenaan dan menafikan angka tempahan yang tersebar itu.
Tesla Model Y mula keluar dalam konfigurator Tesla Malaysia pada 14 Julai, beberapa hari sebelum ia dilancarkan. Tempahannya mula dibuka pada hari yang sama dengan bayaran deposit RM1,000 (tidak boleh dikembalikan), dan penghantaran terawal akan bermula awal 2024.
Model Y ditawarkan dalam tiga varian di Malaysia bermula dengan Tesla Model Y RWD dijual pada harga bermula RM199,000, diikuti Tesla Model Y Long Range AWD dijual pada harga RM246,000 dan varian tertinggi Tesla Model Y Performance AWD dijual pada harga RM288,000.
Ketiga-tiga varian berkenaan didedahkan ketika pelancarannya semalam dan ia akan terus dipamerkan di Pavilion KL sehingga 31 Oktober nanti.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.