Kebelakangan ini, banyak berita berkaitan perkembangan EV di Malaysia, begitu juga dengan pengenalan model baru. Antara yang mencuri perhatian tentulah pengenalan rasmi jenama Tesla di Malaysia, yang juga diikuti dengan pengenalan Model Y, Khamis lalu.
Dan, jika anda belum ada perancangan untuk hujung minggu ini, 22-23 Julai 2023, bertandanglah ke Pusat Persidangan Setia City untuk acara EVx 2023 anjuran paultan.org, yang menghimpunkan barisan kenderaan elektrik dari pelbagai jenama — yang boleh didekati dan juga dibuat tempahan.
Antara jenama yang ada tentunya Tesla sendiri. Walaupun ruang pameran mereka di Pavilion Kuala Lumpur akan berlangsung sehingga Oktober nanti, syarikat itu turut mempamerkan model yang baru saja dilancarkan tempohari, Model Y, di EVx 2023 yang memasuki penganjurannya bagi tahun kedua ini.
Model Y ditawarkan dalam tiga varian, Standard Range RWD (RM199,000), Long Range AWD (RM246,000) dan Performance AWD (RM288,000).
Model paling asas misalnya ialah Model Y Standard Range RWD. Kuasa disalurkan dari motor elektrik tunggal, dan bateri menggunakan jenis LFP, memberikan jarak 455 km (kitaran WLTP). Prestasinya melibatkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dan laju maksimum 217 km/j. Kelengkapan standardnya termasuk rim Gemini 19-inci, dengan pilihan rim Induction 20-inci turut ditawarkan dengan tambahan RM10,000.
Varian Standard Range RWD datang dengan jaminan lapan-tahun/160-000 km untuk bateri dan sistem pacuan, sementara Long Range AWD dan Performance AWD datang dengan jaminan lapan-tahun/192,000 km untuk bateri dan sistem pacuan. Semua harga termasuk SST. Tempahan dalam talian, dengan yuran RM1,000 yang tidak akan dikembalikan, mula dibuka minggu lalu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.