Apa yang membuatkan satu-satu pasukan lumba itu cool bukan hanya jentera lumba dan juga pemandu yang hebat, kadang-kala ia turut disebabkan oleh kenderaan sokongan yang dibawa.
Begitu juga dengan pasukan Mitsubishi Ralliart yang akan bertanding di Asia Cross Country Rally 2023 bulan hadapan – pasukan itu bukan hanya boleh berbangga dengan jentera rali serba baharu yang diasaskan dari Mitsubishi Triton 2024 dan juga barisan pemandu rali antara yang terhebat di Asia, malah mereka turut akan turun dengan ‘pusat operasi bergerak’ menggunakan MPV Mitsubish Delica D:5 yang diubahsuai!
Menurut Mitsubishi dalam kenyataan yang dikeluarkan, pengarah pasukan yang juga bekas juara Rali Dakar dua kali, Hiroshi Masuoka bersama pasukan jurutera serta kru pasukan tersebut akan mengembara bersama sepanjang rali berkenaan menggunakan MPV ini.
Seperti yang disebut tadi, MPV ini akan berperanan sebagai ‘pusat operasi bergerak’ untuk segala kerja-kerja termasuk menganalisa keadaan perlumbaan, merancang strategi sehingga memberikan sokongan teknikal di service park. Selain itu, versi istimewa ini juga dihasilkan sempena ulangtahun ke-55 Delica, yang sebelum ini pernah hadir ke pasaran Malaysia ketika ia masih dalam bentuk van.
Mitsubishi Delica D:5 ini tidak ditawarkan di pasaran Thailand, jadi ia mungkin dibawa terus dari Jepun. Dalam spesifikasi JDM, Delica D:5 hanya ditawarkan dengan satu pilihan enjin iaitu unit 2.2 liter turbodiesel DI-D empat silinder berkuasa 170 hp dan tork maksima 392 Nm.
Kuasa berkenaan dialirkan ke kotak gear lapan kelajuan automatik, dan bagi memberikan kebolehan off-road sebenar kepada MPV ini, ia dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda yang diberikan tiga mod iaitu 2WD, 4WD dan Lock seperti sebuah SUV yang direka untuk kegunaan lasak.
Untuk mempertingkatkan kebolehan off-road, Delica D:5 Ralliart ini diberikan set suspensi lebih tinggi dari JAOS serta set roda sama seperti jentera rali Triton T1 2023 yang berlumba iaitu rim aluminium aloi Work Crag bersama tayar Yokohama Geolander M/T G003.
Ia juga diberikan pelbagai kelengkapan kembara off-road yang lain termasuk rak bumbung yang lengkap dengan enam lampu sorot, tangga pada pintu tailgate belakang untuk akses ke rak bumbung dan lampu tambahan pada bahagian atas cermin depan.
Set mud-flap dan juga kemasan overfender diberikan pada setiap ruang roda. Rupa Delica D:5 ini dilengkapkan dengan grafik badan merah-hitam Ralliart yang seiras dengan jentera rali pasukan tersebut.
GALERI: Mitsubishi Delica D:5 di Tokyo Motor Show 2019
GALERI: Mitsubishi Triton Group T1 generasi baharu untuk AXCR 2023
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.