Tokyo 2019: Mitsubishi Delica D:5 4WD 2.2L diesel turbo – masih gagah bersaing dalam pasaran Jepun

Tokyo 2019: Mitsubishi Delica D:5 4WD 2.2L diesel turbo – masih gagah bersaing dalam pasaran Jepun

Era 80’an dan 90’an dahulu, tiada istilah ‘MPV’ dalam kamus industri automotif. Selain dari bas yang digunakan untuk tujuan komersil, orang persendirian waktu itu perlu membeli sebuah van untuk mendapatkan sebuah ‘people mover‘ bagi membawa sekitar 6-7 orang dewasa dengan selesa.

Nama-nama seperti Nissan Vannette dan Toyota LiteAce adalah antara van yang popular pada zaman berkenaan. Namun antara banyak-banyak van, nama Mitsubishi Delica sentiasa dalam ingatan saya kerana ia agak unik dengan menampilkan pintu gelangsar pada kedua-dua sisi badan, berbanding van lain yang hanya ada pada sebelah kiri.

Delica juga mempunyai varian unik pacuan empat roda, di mana sistem 4WD berkenaan adalah diambil terus dari Mitsubishi Pajero. Turut bermain dalam kotak memori adalah iklan Delica di kaca TV tempatan yang memaparkan ia berlepas keangkasa seperti space shuttle, dan pernah digunakan oleh Jackie Chan dalam filem ‘Wheels on Meals’.

Tokyo 2019: Mitsubishi Delica D:5 4WD 2.2L diesel turbo – masih gagah bersaing dalam pasaran Jepun

Walau bagaimanapun, Delica hanya boleh dibeli dari pengedar tempatan untuk kali terakhir menerusi model genarasi ketiga. Saya percaya tentu ramai yang tidak tahu bahawa Delica masih lagi dihasilkan di Jepun sehingga kini, dan ia tidak lagi dalam bentuk van tetapi hadir dalam badan MPV. Model generasi kelima Delica telah pun dilancarkan di Jepun pada November tahun lalu, dikenali dengan nama Mitsubishi Delica D:5.

Ketika kunjungan ke Tokyo Motor Show 2019 minggu lalu, kami berpeluang melihat sendiri Delica ini di depan mata, diletakkan pada ruang pameran Mitsubishi. Seperti juga model-model generasi terkini Mitsubishi yang lain seperti Eclipse Cross, Xpander dan juga Triton 2019, Delica turut menerima muka ‘Dynamic Shield‘ generasi baharu, menampilkan lampu nyalaan siang LED tirus pada bahagian atas, manakala lampu hadapan utama diletakkan pada bahagian bampar.

Menerusi Delica, buat pertama kali Mitsubishi menampilkan lampu hadapan dengan susunan LED menegak dan bukan melintang, di mana lampu biasa terdiri dari empat LED, dan lampu tinggi pula disusun dengan lima LED. Seperti juga MPV-MPV lain dari Jepun seperti Toyota Alphard, Delica diberikan gril hadapan yang cukup besar berbentuk perisai. Manakala pada bahagian belakang, ia diberikan lampu bersegi, dengan grafik LED seakan cecair yang mengalir ke bawah seperti lampu Triton.

Dua versi Delica D:5 ditawarkan di Jepun, iaitu model Standard yang kelihatan lebih lasak dengan ciri seakan SUV, dan juga Urban Gear yang nampak lebih premium untuk kegunaan bandar.

Model yang dipamerkan di TMS ini adalah dari versi Standard diberikan gril dengan elemen seakan susunan batu-bata, dan menerima kemasan skid plate pada bahgian bawah bampar. Pada bahagian sisi, model Standard tidak mempunyai skirt membuatkan kelegaan tanahnya nampak lebih tinggi, dan skid plate turut diberikan pada bampar belakang. Sesuai dengan rupanya, Delica ini turut dipadankan dengan rim 18-inci yang seolah-olah diambil terus dari SUV atau trak pikap.

Bahagian dalaman Delica ini mampu memuatkan enam orang penumpang dengan tiga baris tempat duduk. Bahagian tengah papan pemuka diberikan skrin infotaimen seperti tablet bersaiz 10.1-inci, bersama suis kawalan penghawa dingin, butang pilihan mod pemanduan dan juga tuil penukar gear di bawahnya.

Model standard diberikan kemasan dalaman berwarna hitam dan panel-panel dengan elemen kayu oak perang, namun dengan balutan fabrik berwarna beige. Opsyen G-Power Package pula akan menawarkan berberapa ciri tambahan seperti lampu suasana dengan jalur LED pada bumbung dan juga kamera 360 darjah yang memaparkan imej pada cermin pandang belakang.

Mitsubishi Delica D:5 dijana dengan hanya satu pilihan enjin iaitu enjin 2.2 liter turbodiesel DI-D empat silinder dengan sistem pengurangan peredam selektif bersama AdBlue bagi mengurangkan kadar pencemaran NOx. Enjin tersebut menjana 170 hp dan tork maksima 392 Nm, dan kuasa dialirkan ke kotak gear lapan kelajuan automatik. Tidak lengkap jika sebuah Mitsubishi tidak disertkan dengan sistem pacuan semua roda di mana Delica sistem yang ditawarkan dengan tiga mod iaitu 2WD, 4WD dan Lock.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required