Mitsubishi Delica D:5 kini diperkenalkan di Jepun

Mitsubishi Delica D:5 kini diperkenalkan di Jepun

Seperti juga Nissan Vannette (kini dikenali sebagai Serena, menggunakan kod casis ‘C’ yang sama), Mitsubishi Delica antara ‘people mover‘ yang sangat terkenal satu ketika dahulu. Jika van lain yang sezaman dengannya menampilkan hanya sebelah pintu gelangsar, Delica lebih inovatif dengan menampilkan pintu gelangsar pada kedua-dua sisi, memudahkan penumpang untuk masuk kedalamnya.

Kini, Delica bukan lagi van yang boleh dijadikan ‘Bas Kilang’ atau ‘Bas Sekolah’ kecil kerana model-model generasi baharunya tampil sebagai MPV. Versi generasi keenam model ini dikenali sebagai Delica D:5 sudahpun diperkenalkan di Jepun, menampilkan rupa yang garang.

Seperti juga model-model generasi terkini Mitsubishi yang lain seperti Eclipse Cross, Xpander dan juga Triton 2019, Delica turut menerima muka ‘Dynamic Shield‘ generasi baharu, menampilkan lampu nyalaan siang LED tirus pada bahagian atas, manakala lampu hadapan utama diletakkan pada bahagian bampar.

Apa yang menarik lagi, buat pertama kali, Mitsubishi menampilkan lampu hadapan dengan susunan LED menegak dan bukan melintang, di mana lampu biasa terdiri dari empat LED, dan lampu tinggi pula disusun dengan lima LED. Seperti juga MPV-MPV lain dari Jepun seperti Toyota Alphard, Delica diberikan gril hadapan yang cukup besar berbentuk perisai. Manakala pada bahagian belakang, ia diberikan lampu bersegi, dengan grafik LED seakan cecair yang mengalir ke bawah seperti lampu Triton.

Dua versi Delica D:5 ditawarkan di Jepun, iaitu model Standard yang kelihatan lebih lasak dengan ciri seakan SUV, dan juga Urban Gear yang nampak lebih premium untuk kegunaan bandar.

Versi Standard diberikan gril dengan elemen seakan susunan batu-bata, dan diberikan kemasan skid plate pada bahgian bawah bampar. Pada bahagian sisi, model Standard tidak mempunyai skirt membuatkan kelegaan tanahnya nampak lebih tinggi, dan skid plate turut diberikan pada bampar belakang. Dua pilihan rim ditawarkan untuk versi ini iaitu 16-inci dan 18-inci.

Manakala untuk versi Urban Gear, gril hadapan direka dengan elemen lebih menlintang, tiada sebarang skid plate, manakala bampar hadapan dan belakang diberikan lips tambahan bersama skirt sisi yang lebih labuh. Varian ini juga hanya menampilkan satu pilihan rim 18-inci dengan rekaan berbeza dari versi standard.

Untuk pasaran JDM ini, Delica D:5 turut ditawarkan dengan pelbagai aksesori dari pengedar. Aksesori berkenaan memberikan rupa yang lebih lasak untuk model standard terdiri dari perkataan ‘DELICA’ pada hujung bonet hadapan, mud-flap ala-kereta rali, pemijak kaki sisi dari bahan logam serta rak bumbung bersaiz besar – mengingatkan penulis kepada Delica 4WD dalam filem ‘Meals on Wheels’ lakonan Jackie Chan pada era 80’an dahulu.

Bahagian dalaman Delica ini mampu memuatkan enam orang penumpang dengan tiga baris tempat duduk. Bahagian tengah papan pemuka diberikan skrin infotaimen seperti tablet bersaiz 10.1-inci, bersama suis kawalan penghawa dingin, butang pilihan mod pemanduan dan juga tuil penukar gear di bawahnya.

Mitsubishi Delica D:5 kini diperkenalkan di Jepun

Model standard diberikan kemasan dalaman berwarna hitam dan panel-panel dengan elemen kayu oak perang, namun dengan balutan fabrik berwarna beige. Opsyen G-Power Package pula akan menawarkan berberapa ciri tambahan seperti lampu suasana dengan jalur LED pada bumbung dan juga kamera 360 darjah yang memaparkan imej pada cermin pandang belakang.

Versi Urban gear pula menampilkan kemasan panel kayu berwarna biru dan juga balutan kulit hitam. Dengan opsyen G-Power Package, model ini akan ditambah dengan kerusi pemandu larasan elektrik, pemanas tempat duduk dan pintu tailgate berkuasa.

Kedua-dua varian Delica D:5 dijana dengan hanya satu pilihan enjin iaitu enjin 2.2 liter turbodiesel DI-D empat silinder dengan sistem pengurangan peredam selektif bersama AdBlue bagi mengurangkan kadar pencemaran NOx. Enjin tersebut menjana 170 hp dan tork maksima 392 Nm, dan kuasa dialirkan ke kotak gear lapan kelajuan automatik. Tidak lengkap jika sebuah Mitsubishi tidak disertkan dengan sistem pacuan semua roda – dan ia ditawarkan dengan tiga mod iaitu 2WD, 4WD dan Lock.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required