Sebelum ini pelbagai isu timbul berkenaan dengan cadangan projek Lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) termasuklah ia dikatakan akan memberi kesan buruk kepada kesejahteraan dan sosio-ekonomi penduduk.
Malahan penduduk sekitar Petaling Jaya juga telah bertahun-tahun membuat bantahan cadangan pembinaan projek lebuhraya ini. Malahan ia juga dikatakan jelas bertentangan dengan aspirasi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) ke arah negara neutral karbon menjelang 2030.
Terkini, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari telah mengesahkan pihak kerajaan negeri berhasrat untuk membatalkan permohonan pembinaan PJD Link ini. Menurut beliau, perkara ini diputuskan selepas kerajaan negeri meneliti beberapa aspek cadangan pembinaan lebuhraya tersebut.
“Pada awalnya, cadangan pembinaan lebuhraya ini mendapat kelulusan prinsip daripada Jemaah Menteri Persekutuan pada 12 November 2017. Cadangan ini kemudiannya dibawa kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) pada 3 September 2020 dan diberi ruang untuk kajian dijalankan dengan melibatkan penduduk di kawasan Petaling Jaya.
“Seterusnya, cadangan ini dibentangkan kepada Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan pada 12 November 2021 melalui Memorandum Jemaah Menteri untuk kelulusan bersyarat supaya cadangan ini memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Negeri Selangor,” kata Amirudin.
Tambahnya lagi, susulan daripada itu, penjanjian konsesi di antara Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional dan pemaju berkenaan telah ditandatangai pada 5 April 2022 dengan syarat syarikat berkenaan melaksanakan secara penuh Kajian Environmental Impact Assessment (EIA), Kajian Sosial Impact Assessment (SIA) dan Kajian Traffic Impact Assessment (TIA) sebelum perjanjian ini diaktifkan.
“Berkait dengan laporan penilaian impak yang dikemukakan, terutamanya dari segi laporan impak sosial, pentadbiran ini tidak berpuas hati dengan pelan yang dikemukakan kerana tidak menepati syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.
“Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Selangor tidak berhasrat untuk meneruskan dengan cadangan ini dan memutuskan untuk membatalkan permohonan pembinaan Lebuhraya PJD Link,” jelas Amirudin menerusi kenyataan media yang dikeluarkan.
PJD Link merupakan lebuhraya berkembar empat lorong sepanjang 25.4 km yang akan bermula selepas Plaza Tol Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di Lebuhraya SPRINT, Damansara dan berakhir di Persimpangan Lebuhraya Bukit Jalil. Projek itu bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memenuhi pertumbuhan kenderaan masa hadapan di kawasan Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang.
Malahan PJD Link Expressway dijangka berperanan penting dalam menyuraikan kesesakan lalu lintas kerana menyediakan sambungan utama dengan enam lebuh raya utama termasuk NKVE, Lebuhraya SPRINT, Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Pantai Baru (NPE), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Lebuhraya Bukit Jalil.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.