Angka-Tan Motor Sdn Bhd (ATM), pengedar kenderaan JMC di Malaysia, telah memperkenalkan Vigus Pro White Series, kenderaan pikap 4×4 automatik yang disasarkan untuk memenuhi permintaan komuniti perniagaan yang semakin meningkat, termasuk korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Merupakan unit pemasangan tempatan (CKD), trak pikap ini ditawarkan pada harga atas jalan RM99,888 tanpa insurans. White Series merupakan tambahan kepada Premium Series yang merupakan versi asal bagi Vigus Pro yang diperkenalkan di Malaysia pada Oktober 2021.
Dengan kelengkapan seperti Premium Serius, ciri yang diberikan termasuklah roda aloi 16-inci (tayar profil 265/70), lampu utama projektor halogen automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan dan belakang, cermin sisi larasan automatik dengan lampu isyarat membelok, pemijak tepi, bampar pemijak belakang, palang sport dengan lampu brek ketiga, bilah pengelap cermin dengan penderia hujan dan bed liner.
Untuk bahagian kabinnya, ia diberikan paparan pelbagai-info 3.5-inci di tengah meter analog, unit utama skrin sesentuh lapan-inci dengan Bluetooth, empat pembesar suara, roda stereng balutan kulit, pedal penukar gear, kawalan kelajuan, pendingin hawa manual, pengunci pintu automatik dengan penderia kelajuan. Untuk aspek keselamatan, White Series turut diberikan aspek keselamatan yang sama dengan Premium Series termasuk dua beg udara, ABS, EBD, ESP, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, kawalan menurun bukit, kamera undur, penderia parkir hadapan dan belakang serta cagak Isofix.
Walau pun ada beberapa persamaan antara White Series dan Premium Series, namun White Series tidak menerima pelindung pintu, plat ambang pintu, cermin gelap, bantuan tailgate dan perakam video digital. Namun sebagai tambahan, waranti bagi White Series ialah tiga-tahun/100,000 km berbanding lima-tahun/150,000 km.
Selain perbezaan itu, White Series turut diberikan enjin yang sama diesel PUMA 2.0L TDI empat-silinder sebaris dengan variable geometry turbocharger dan intercooler. Penjana kuasa ini boleh menghasilkan 141 PS (139 hp atau 104 kW) pada 3,600 rpm dan tork 340 Nm antara 1,500 hingga 2,600 rpm, dipadankan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan ZF.
Manakala sistem pacuan empat roda BorgWarner menawarkan fungsi julat kelajuan rendah untuk penggunaan off-road dan SUV. Sistem ini membolehkan pemandu membuat penukaran antara mod pemanduan dua roda dan empat roda, menawarkan daya cengkaman dan keupayaan off-road yang lebih baik. Pada julat kelajuan rendah, terdapat gear tambahan untuk nisbah gear yang lebih rendah, meningkatkan daya tork dan membolehkan kenderaan menempuhi laluan yang mencabar. Sistem BorgWarner menggunakan kawalan elektronik atau mekanikal untuk mengaktifkan atau memadamkan sistem pacuan empat roda demi prestasi yang lebih diyakini serta memberikan fleksibiliti dalam pelbagai situasi.
Vigus Pro memiliki ukursan 5,305 mm panjang, 1,905 mm lebar, 1,835 mm tinggi dan jarak roda 3,085 mm. Trak pikap ini mempunyai jejari pusingan sekitar 6.5 meter, jarak kelegaan tanah mencecah 225 mm dan juga berat badan 1,995 kg.
Angka-Tan Motor juga memperkenalkan warna baharu untuk JMC Vigus Pro Premium Series dengan kemasan luaran Metal Grey baharu, menyertai warna sedia ada Metallic Silver, Stylish Black. Tambahan untuk White Series ialah warna Arctic White. Ia juga menawarkan aksesori tambahan untuk memenuhi pelbagai keperluan pelanggan seperti penutup jendela gulung (roller shutter) demi kemudahan dan keselamatan kargo. Kanopi juga ditawarkan sebagai pilihan, memberikan kepelbagaian dan perlindungan. Semua aksesori disertakan dengan jaminan selama setahun.
GALERI: Brosur JMC Vigus Pro 2023
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.