Inilah dia, Mercedes-AMG GT generasi kedua. Direka semula dari awal, GT terbaru ini melihatkan pelbagai perubahan, dengan yang utama adalah penggunaan sistem pacuan semua roda. Ia ditawarkan dalam dua versi, iaitu GT55 4Matic+ dan GT63 4Matic+, dengan kedua-duanya menggunakan enjin V8 4.0 liter twin turbo M177.
Walaupun enjin sama, GT55 ditala untuk menghasilkan kuasa 476 PS (469 hp atau 350 kW) dari 5,500 hingga 6,500 rpm dan tork 700 Nm dari 2,250 hingga 4,500 rpm, sementara GT63 lebih berkuasa dengan 585 PS (577 hp atau 430 kW) dari 5,500 hingga 6,500 rpm dan tork 800 Nm dari 2,500 hingga 5,000 rpm.
Enjin ini dipadankan bersama transmisi automatik AMG Speedshift MCT 9G, menggantikan unit klac berkembar sebelum ini. Satu lagi yang baru adalah penggunaan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic+, yang membawa makna ia sekarang bukan lagi kereta sports pacuan roda belakang sahaja.
Daripada aspek prestasi, GT55 boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa cuma 3.9 saat, sebelum mencapai laju maksimum 295 km.j, sementara GT63 boleh melakukan pecutan sama dalam masa 3.2 saat sebelum mencapai laju maksimum 315 km/j.
GT baru ini datang dengan tetapan suspensi double wishbone di hadapan dan belakang, serta penyerap adaptif pada GT55. GT63 pula diberikan dengan tetapan AMG Active Ride Control yang lebih canggih, dan ditambah dengan anti-roll stabilisation semi aktif hidraulik, yang juga membenarkan gandar hadapan dinaikkan sehingga 30 mm.
Kelengkapan lain yang berkenaan dengan pemanduan pada model ini adalah termasuk differential belakang boleh kunci (standard), rear-axle steering serta sistem brek AMG yang terdiri daripada cakera 390 mm dengan angkup enam piston di hadapan dan cakera 360 mm dengan angkup satu piston terapung di belakang.
Untuk pengetahuan, GT baru ini menggunakan asas yang sama dengan SL roadster, tetapi ia adalah lebih besar dengan ukuran panjang 4,728 mm dan lebar 1,984 mm, sementara kedudukannya pula lebih rendah dengan catatan tinggi 1,354 mm. Jarak rodanya iaitu 2,700 mm pula adalah 70 mm lebih panjang berbanding SL.
Meskipun secara kasarnya GT ini masih mengekalkan bentuk seperti sebelum ini, ia diterapkan dengan elemen tersendiri yang membezakannya dengan SL dan model sebelum ini. Ia termasuk lampu utama dengan pencahayaan tiga bintik yang kurang condong serta gril khas AMG yang lebih ke dalam dan lebar. Lampu belakang pula lebih nipis dan menggunakan konsep pencahayaan seperti DRL lampu hadapan.
Ekzos yang menggunakan empat muncung adalah sesuatu yang sudah biasa bagi GT dan model baru ini masih mengekalkan rekaan tersebut. Walaubagaimanapun, kemasan di atasnya telah direka semula dan pakej aero kereta ini didatangkan dengan diffuser yang lebih rumit, sayap belakang aktif serta panel bawah kereta yang boleh turun sehingga 40 mm pada kelajuan 80 km/j.
Untuk lebih lagi, pemilik boleh mendapatkan pakej tambahan yang memberikan pelbagai panel aerodinamik pada bampar hadapan, bampar belakang, tepi roda, diffuser lebih besar serta sayap belakang tegar. Semua ini menyumbang kepada daya angkatan yang lebih rendah dan tolakan ke bawah (downforce) lebih kuat.
Pada bahagian dalam, GT berkongsi rekaan yang sama seperti SL, dengan tarikan utama pada skrin sesentuh 11.9 inci yang menjadi sebahagian daripada sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX). Sistem infotainmen pada model ini datang dengan panel instrumen digital serta menu seperti AMG Performance dan AMG Track Pace.
Kelengkapan lain yang diberi adalah termasuk tempat duduk AMG, roda stereng AMG Performance, sistem AMG Dynamics dengan enam mod, mod pemanduan AMG Dynamic Select serta pelbagai sistem bantuan pemandu lain. AMG GT generasi kedua ini juga sekarang boleh didapati dengan tempat 2+2 yang membolehkan dua lagi penumpang duduk di belakang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.