Mercedes-AMG SL R232 2022 diperkenal – sedia kuasa sehingga 585 PS dan 800 Nm tork, PHEV kemudian

Mercedes-AMG SL R232 2022 diperkenal – sedia kuasa sehingga 585 PS dan 800 Nm tork, PHEV kemudian

Model baru Mercedes-Benz SL biasanya diperkenalkan sekali setiap 10 tahun, dan tahun ini ia berlaku lagi. Kali ini ia sedikit berbeza kerana tidak lagi dikeluarkan dari kemudahan syarikat itu di Stuttgart, tetapi dari Affalterbach. Inilah dia, Mercedes-AMG SL R232.

Model ini menggantikan GT Roadster sebelumnya, dan dibina atas struktur komposit aluminium baru yang tidak digunakan bagi model Mercedes lain. Selain besi yang lebih ringan, kereta ini juga dibina menggunakan bahan gentian magnesium untuk meningkatkan ketegarannya, dengan ketahanan kilasan meningkat sebanyak 18% berbanding SL R231. Kekuatan menegak dan melintang juga meningkat 50% dan 40% berbanding GT Roadster.

Pada bahagian luar, rekaan yang diperkemas semula menunjukkan evolusi daripada GT Roadster, dengan lampu hadapan lebih nipis (dengan teknologi Digital Light) dan lampu belakang bersegi yang menunjukkan gaya rekaan terbaru Mercedes.

Model baru ini juga membawa kembali bumbung jenis fabrik kepada model SL (kali terakhir digunakan adalah pada model R129 tahun 90-an), untuk menggantikan bumbung jenis keras yang diperkenalkan sejak model R230. Ia boleh dibuka dan ditutup pada kelajuan bawah 60 km/j, dengan mengambil masa sekitar 15 saat. Melalui perubahan ini juga, ia berjaya menjimatkan berat sebanyak 21 kg dan memberikan titik graviti lebih rendah.

Penutup but yang sedikit membonjol di belakang untuk menyimpan bumbung tersebut turut menempatkan spoiler jenis aktif, sementara di bawahnya terdapat bampar dengan diffuser serta empat muncung ekzos. Pilihan rim terdiri dari saiz 19 hingga 21 inci, dan direka untuk melengkapi bahagian lain yang mengambil penting ciri aerodinamik seperti pembuka pintu jenis tenggelam serta gril aktif Airpanel.

Sebagai tambahan, SL R232 ini juga datang dengan Aerodynamic Package, yang terdiri daripada panel tambahan di bukaan udara tepi bampar, diffuser besar di belakang serta spoiler aktif gentian karbon bawah badan (direndahkan apabila laju untuk mengurangkan kesan Venturi bawah badan, mengurangkan daya angkatan sehingga 50 kg pada 250 km/j dan meningkatkan ketepatan stereng serta stabiliti.

Bahagian dalam turut melibatkan rekaan semula yang komprehensif, dengan kini boleh menempatkan empat orang di dalamnya – kali terakhir digunakan pada SL R120 – tetapi tempat duduk belakang hanya untuk mereka yang berketinggian sehingga 1.5 meter. Di bahagian tengah papan pemuka terdapat skrin sesentuh 11.9 inci yang diletakkan menegak dan menggunakan sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) terkini serta boleh dilaras 12 hingga 32 darjah untuk mengelakkan silau.

Mercedes-AMG SL R232 2022 diperkenal – sedia kuasa sehingga 585 PS dan 800 Nm tork, PHEV kemudian

Konsep rekaan lain yang boleh dilihat adalah seperti corong pendingin hawa bentuk turbin serta konsol tengah yang diambil daripada AMG GT. Dalam keadaan standard anda diberikan dengan roda stereng berbentuk rata di bawah serta tempat duduk sports, sementara tempat duduk AMG Performance yang lebih gebu disediakan sebagai pilihan tambahan. Sistem Airscarf disediakan terus bagi model yang menggunakan enjin lapan silinder.

Melalui ayat ini, kita tahu nanti akan ada pilihan enjin lain yang diperkenalkan, tetapi waktu pelancaran, ia cuma datang dengan enjin V8 twin turbo 4.0 liter M177. Ada dua varian yang disediakan, iaitu SL 63 yang berkuasa 585 PS/800 Nm, dan SL 55 berkuasa 476 PS/700 Nm.

Varian SL 63 boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat sementara SL 55 pula mencatat 3.9 saat, manakala kelajuan maksimum masing-masing pula adalah 315 km/j dan 295 km/j. Kedua-duanya dipadankan bersama transmisi automatik sembilan kelajuan AMG Speedshift MCT 9G dengan sistem AMG Performance 4Matic+ yang boleh mengubah pacuan menjadi roda belakang sahaja atau semua roda secara sendiri.

Mercedes juga akan memperkenalkan versi plug-in hybrid bagi model ini, berkemungkinan menggunakan penggerak sama seperti GT 63 S E Performance iaitu padanan enjin V8 639 PS/900 Nm dengan motor elektrik 14 PS dan satu lagi motor elektrik 204 PS/320 Nm, untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 843 PS dan 1,470 Nm tork.

Untuk memegang jalan, roda SL R232 disambungkan kepada badan menggunakan sistem five-link, dengan besi sambungan, knuckle stereng dan pemegang hab yang dibuat daripada aluminium forged untuk mengurangkan beratnya. Sistem penyerap adaptif dua injap dan gegelung spring didatangkan standard, sementara SL 63 dilengkapi dengan AMG Active Ride Control dan limited-slip differential elektronik (pilihan tambahan bagi SL 55).

Semua model SL R232 ini datang dengan active rear-wheel steering yang boleh membelok sehingga 2.5 darjah, serta cakera brek komposit berliang (cakera karbon seramik disediakan sebagai pilihan tambahan). Dinamik kenderaan boleh dikawal melalui mod Slippery, Comfort, Sport, Sport+, Individual, dan pada SL 63 ia ditambah dengan mod Race. Turut disediakan adalah sistem AMG Dynamics dengan pilihan mod Basic, Advanced, Pro dan Master untuk melaras tetapan casis serta stability control.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required