Kewujudan model Himalayan baru memang sudah diketahui dengan Royal Enfield sendiri sudah menyiarkan teaser untuknya sejak tahun lalu lagi dan kelibatnya sudah dilihat membuat ujian atas jalan raya (dan juga kawasan lain) di India.
Sekarang satu lagi teaser muncul. Ia bagaimanapun tidak didedahkan secara rasmi kepada awam dan kami kira, ia mungkin datang dengan undangan ke majlis pelancaran yang akan berlaku pada bulan November ini dan diberikan kepada wakil media di India.
Di dalam video teaser pendek yang dimuat naik oleh BikeWale, anda bukan setakat boleh melihat beberapa bahagian motosikal, tetapi juga mendengar sendiri bunyinya. Ia juga memberi gambaran motosikal ini boleh dibawa ke pelbagai jenis suasana dan keadaan jalan.
Melalui maklumat yang kita dapat daripada media di India, Himalayan baru ini akan menggunakan enjin berkapasiti lebih tinggi berbanding 411 cc sekarang, dan boleh dipanggil sebagai Himalayan 450.
Selain enjin, transmisi lima kelajuannya juga dikatakan bakal dipertingkat dengan unit enam kelajuan, selain beberapa perubahan seperti bentuk panel badan, fork USD, ABS roda belakang yang akan ditutup secara automatik apabila memilih mod Offroad serta lampu hadapan LED seperti yang boleh dilihat dalam video sebelum ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.