GWM Cannon telah pun merekodkan sejumlah 500,000 unit yang diproduksi, dan trak pikap double-cab itu kini telah dibuka tempahannya di Malaysia, dengan 66 unit pertama telah pun tiba di sini.
Pertama kali dipertontonkan dalam Malaysia Autoshow pada Mei lalu, Cannon P12 terlebih dahulu dipromosi di Malaysia dengan varian Ultra yang ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insuran RM127,800. Ia dilindungi waranti selama lima-tahun atau 150,000 km. Manakala varian P11 iaitu trak pikap double-cab yang lebih kepada trak komersil pula dikatakan akan diperkenalkan kemudian.
Trak pikap ini dijanakan oleh enjin 2.0 liter turbodiesel empat-silinder yang mampu menghasilkan sehingga 163 PS (161 hp atau 120 kW) dan tork maksima 400 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan dari ZF bersama sistem pacuan empat roda.
Cannon P12 Ultra yang sesuai untuk kegunaan persendirian harian ini menerima gril hadapan dengan elemen melintang yang disalut krom bersama lampu hadapan bersama lampu nyalaan siang LED, berbanding P11 yang diberikan gril dengan elemen batu berlian bersama lampu hadapan dengan bentuk sedikit berbeza, tanpa lampu nyalaan siang.
Perincian lain yang turut diberikan pada Cannon P12 termasuk differential boleh kunci pada gandar belakang, pelbagai mod pemanduan, lampu utama LED automatik, lampu belakang LED, cermin sisi larasan kuasa, pemijak kaki belakang, dan roda aloi 18-inci dengan tayar 265/60.
Untuk kabinnya, ia dilengkapi upholsteri kulit, tempat duduk larasan kuasa, penukar gear di stereng, panel instrumen digital tujuh inci, skrin sesentuh sembilan-inci (dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay), pendingin hawa automatik (dengan corong di belakang) serta sistem tanpa kunci, stereng berkuasa elektrik dan butang penghidup enjin.
Bagi sistem keselamatan dan bantuan pemanduan, P12 dilengkapi dengan enam beg udara, kamera 360 darjah, brek parkir elektronik, sistem pengenalan tanda jalan dan ciri pemanduan autonomous Tahap 2 yang merangkumi sistem Adaptive Cruise Control, Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, Lane Centring Assist dan Autonomous Emergency Braking (AEB).
GALERI: GWM Cannon P12
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.