Selepas membuat kemunculan sulung globalnya di Goodwood Festival of Speed Julai lalu, kini Lotus Emira dalam versi yang dijana oleh enjin 2.0L empat-silinder turbo yang dibekalkan oleh Mercedes-AMG, digelar sebagai Emira i4 diumumkan sudahpun boleh ditempah di Malaysia!
Menurut Lotus Cars Malaysia, Emira i4 akan dibawa dalam versi First Edition 2023 terlebih dahulu, dan ia akan dijual pada harga atas jalan termasuk cukai tetapi tanpa insuran RM998,800. Bagi model selepas itu iaitu model unit yang bukan tahun 2023, Emira i4 akan dijual pada harga sebenar RM1,095,000 di Semenanjung Malaysia dan RM509,000 di pulau bebas cukai Langkawi.
Pelanggan terawal yang menempah Lotus Emira i4 ini dijangka bakal menerima kereta mereka pada November ini, dan semua pembelian adalah dilindungi waranti pengeluar selama tiga-tahun tanpa had perbatuan.
Seperti diketahui, Emira merupakan model terakhir yang dijana oleh enjin pembakaran dalaman dari Lotus kerana selepas ini jenama kereta sport British itu hanya akan menghasilkan model-model yang dijana oleh unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya.
Emira sudahpun ditawarkan dalam versi enjin Toyota 2GR-FE 3.5 liter V6 yang disuap dengan supercharger Edelbrock 1740 tahun lalu, dan model i4 ini merupakan model pertama dari Lotus yang menerima enjin dibekalkan oleh Mercedes-AMG. Secara spesifiknya, enjin AMG yang digunakan untuk Emira ini adalah unit M139 yang sama digunakan pada model-model ’45’ Mercedes-AMG seperti A45, GLA45 dan CLA45, iaitu enjin produksi empat-silinder paling berkuasa di dunia buat masa sekarang.
Walau bagaimanapun, unit M139 yang disumbat pada bahagian tengah casis Emira ini ditala bagi menghasilkan 365 PS pada takat 6,600rpm dan tork maksima 430 Nm bermula 3,000 hingga 5,500 rpm, berbanding model-model 45 AMG yang menerima lencana S menghasilkan 421 PS dan tork maksima 500 Nm.
Tidak seperti versi V6 yang ditawarkan sama ada dengan kotak gear manual enam-kelajuan atau automtik enam-kelajuan, Emira i4 hanya ditawarkan dengan satu pilihan transmisi iaitu kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan 8 DCT dengan mod Launch Control.
Gandingan ini cukup untuk membolehkan Lotus Emira i4 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.4 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 290 km/j. Oleh itu berbanding Emira 3.5 liter V6 berharga RM1.13 juta di Malaysia yang memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 4.3 saat, model dengan enjin lebih kecil ini hanya lambat 0.1 saat dalam pecutan yang sama.
“Sebagai model terakhir Lotus yang dikuasakan oleh enjin petrol, Emira ialah sebuah model klasik masa depan. Berprestasi tinggi, dinamik luar biasa, suspensi yang ringan dan ditala penuh teliti, sistem stereng inovatif, bahagian luaran yang direka agar aerodinamik dam ruang kabin yang fokus kepada pemandu, semua ini digabungkan untuk memberikan pengalaman memandu sebuah kereta sports sebenar yang boleh diharapkan daripada sebuah Lotus,” kata Pengarah Urusan Lotus Cars Malaysia, Jack Zaal.
Berbanding generasi Elise dan Exige sebelum ini yang tampil ‘kosong’ dan hardcore kerana mementingkan aspek ringan untuk kelajuan, Emira adalah visi generasi baharu Lotus yang turut menawarkan ciri-ciri mewah dan mudah untuk dipandu setiap hari seperti Porsche Cayman.
Kereta sport generasi baharu ini diasaskan dari platform Lotus Sports Car Architecture (atau digelar sebagai Elemental oleh pihak dalaman Lotus), yang dihasilkan dengan struktur aluminium terekstrud seperti diperkenalkan pertama kali pada Elise. Menurut Lotus, dengan enjin lebih kecil, model dengan enjin empat-silinder sebaris ini adalah 12 kg lebih ringan berbanding Emira yang dijana oleh V6.
Kedua-dua versi ini menerima konfigurasi suspensi yang sama iaitu jenis double wishbone tempaan aluminium di hadapan dan belakang. Namun untuk subframe baharu bagi menempatkan enjin M139 ini, rekaan suspensi belakang untuk Emira i4 direka berbeza berbanding versi V6.
Ia menggunakan penyerap hentak bertekanan tinggi dari Bilstein dan dipadankan dengan Spring Eibach, telah ditala dengan teliti bersama empat tetapan berbeza untuk pilihan chasis Tour dan Sport.
Versi Tour dioptimumkan untuk kegunaan di atas jalan biasa dengan spring dan penyerap hentak lebih lembut. Manakala casis Sport pula fokus kepada kegunaan di litar dengan sudut camber dan sudut toe ditingkatkan untuk memaksimumkan cengkaman. Ketegaran bar anti-oleng turut dihasilkan khas untuk Emira ini bersama komponen pada gandar hadapan yang kini lebih ringan.
Untuk sistem stereng, Emira menerima sistem bantuan kuasa elektro-hidraulik yang didakwa “menawarkan rasa pemanduan sebenar yang sememangnya menjadi asas kepada DNA kereta Lotus”.
Emira i4 hadir dengan pilihan set roda yang dibangunkan khas untuk maklum balas stereng dan cengkaman, menampilkan rim aloi forged 20-inci ultra ringan dengan kemasan potongan berlian berwarna perak atau hitam berkilat, bersama tayar bersaiz 245/35/R20 di hadapan dan 295/30/R20 belakang.
Pembeli yang memilih casis Tour menerima tayar Goodyear Eagle F1 Supersport. Manakala untuk casis Sport, ia datang standard dengan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 yang lebih hardcore untuk pemanduan litar, namun pembeli untuk model ini turut ditawarkan dengan opsyen untuk menggunakan tayar Goodyear Eagle F1 Supersport.
Menurut Lotus, kedua-dua jenis tayar berkenaan mempunyai tulisan ‘LTS’ pada dinding tepi, menunjukkan ia adalah tayar khas yang dihasilkan bagi memenuhi spesifikasi Lotus.
Emira i4 turut menerima sistem brek yang lebih sesuai dengan jumlah penghasilan kuasa dari enjin yang sudah tentu tidak sama seperti model V6. Model ini diberikan cakera berkembar ringan, berliang dan dipadankan bersama angkup empat omboh untuk bahagian hadapan hadapan. Pembeli boleh memilih angkup tersebut dalam empat warna berbeza tanpa kos tambahan.
Bagi perincian dalaman, Emira i4 menerima paparan instrumen digital dengan skrin TFT 12.3-inci, skrin infotainmen bersaiz 10.25 inci yang menyokong fungsi Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, sistem bunyi 560W 10 saluran yang aspek akustiknya telah dioptimumkan, bersama enam unit pembesar suara dibangunkan dengan KEF dan teknologi Uni-QTM, serta tempat duduk yang boleh dilaras secara elektrik 12 hala dengan ciri pemanas.
Untuk upholsteri, Emira i4 ditawarkan dengan kulit Nappa yang hadir dalam pilihan warna hitam, merah, kelabu, tan atau Alcantara hitam, bersama pilihan jahitan kontras benang berwarna kuning, merah atau kelabu. Pelanggan juga boleh memilih kulit Nappa yang sama pada stereng dengan jahitan jalur tanda pukul 12 dalam warna kuning, merah atau kelabu.
Kabin kereta sport ini juga menampilkan material Alcantara hitam pada bumbung, bersama perapi-perapi dalam kemasan satin krom, lampu suasana dalaman berwarna putih dan juga plat kaki jenama Lotus. Jika anda mahu memulakan perjalanan jauh dengan dengan kereta berenjin tengah ini, perlu diingat kapasiti storan yang diberikan adalah ruang 208 liter di belakang tempat duduk dan juga tambahan 151 liter di ruang kargo belakang.
Secara asasnya, Emira i4 ditawarkan dengan 13 warna badan iaitu Hethel Yellow, Magma Red, Vivid Red, Dark Verdant, Seneca Blue, Atlantis Blue, Meridian Blue, Osmium Silver, Nimbus Grey, Shadow Grey, Zinc Grey, Mist White dan Cosmos Black.
Selain itu Emira i4 First Edition ini turut hadir dengan empat pek pilihan sebagai ciri standard. Salah satu daripadanya ialah Lower Black Pack yang merangkumi kemasan hitam berkilat pada bumbung, bingkai bumbung, perumah cermin sisi dan emblem Lotus pada bahagian belakang. Kemasan pada ekzos pula berwarna hitam satin.
Ia juga datang dengan Design Pack melibatkan penambahan satu kaca privasi, pedal sports, kemasan bumbung Alcantara dan karpet lantai Emira. Untuk Convenience Pack yang dijuga ditambah secara standard datang dengan penderia parkir hadapan, kamera undur, penderia pada pengelap cermin utama bersama bilah aero, cermin malap secara automatik dan jaring pada ruang penyimpanan belakang.
Akhir sekali ialah Lotus Drivers Pack yang memberi pilihan suspensi Tour atau Sports kepada pelanggan. Tidak kira pilihan mana yang diambil, ia dilengkapi ciri Track Mode ESP dengan mode Track baharu dipaparkan pada skrin instrumen TFT yang mengutamakan maklumat diperlukan untuk pemanduan berprestasi tinggi.
Bagi yang berminat untuk melihat Emira i4 ini dengan lebih dekat, Lotus Cars Malaysia menjemput anda untuk datang ke ke Lotus Store di Level 3, Pavilion Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun unit yang dipamerkan tersebut adalah dari versi V6, tetapi mempunyai penampilan luaran dan dalaman sama seperti model Emira i4.
Fasiliti berkenaan dibuka bermula 10 pagi hingga 10 malam setiap hari dan akan ada pakar Lotus yang sentiasa bersiap sedia dengan konfigurator bagi membolehkan pelanggan menetapkan spesifikasi Lotus Emira i4 mereka sendiri.
GALERI: Lotus Emira di Lotus Store Pavillion KL
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.