GALERI: Mercedes-AMG CLA45 S 4Matic+ di Malaysia – RM448,888, 2.0L turbo 421 PS/500 Nm dan Drift Mode

GALERI: Mercedes-AMG CLA45 S 4Matic+ di Malaysia – RM448,888, 2.0L turbo 421 PS/500 Nm dan Drift Mode

Semalam, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah pun melancarkan tiga model A-Class generasi baharu talaan AMG iaitu model hatchback A45 S, versi lebih rendah A35 dan juga coupe empat-pintu CLA45 S. Namun disebabkan negara masih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pelancaran tersebut hanya dilakukan secara digital dan set gambar yang kami dapat adalah dari rasmi dari MBM sendiri.

Hari ini jurugambar profesional kami, Shermen Sim telahpun diberi kesempatan untuk merakamkan dengan lebih terperinci tiga model berkenaan. Jadi, ini adalah galeri lengkap Mercedes-AMG CLA45 S, manakala A 45 S pula anda boleh lihat pada PAUTAN INI.

Tidak seperti model generasi sebelumnya, AMG 45 kini hadir dalam dua versi iaitu model standard juga versi paling berkuasa dengan lencana S. Pasaran Malaysia tidak ditawarkan dengan model standard, sebaliknya hanya menerima model paling liar Mercedes-AMG CLA45 S 4Matic+, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM448,888.

CLA45 S generasi C118 ini dijana oleh enjin empat silinder 2.0 liter turbo M139 baharu, menjana 421 PS dan tork maksima 500 Nm. Untuk model standard yang tidak ditawarkan di sini, ia masih diberikan enjin sama tetapi dengan talaan kuasa hanya sedikit tinggi dari model generasi sebelumnya iaitu 387 hp/480 Nm.

Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan AMG Speedshift 8G, dan kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda 4Matic+. Ini membolehkan CLA45 S memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 270 km/j.

Dengan kuasa yang lebih besar serta sistem pacuan semua roda 4Matic+ yang lebih dinamik, CLA45 generasi baharu ini hadir dengan ‘Drift Mode’ membolehkan ia menggelangsar seakan kereta rali. Mod berkenaan dapat dihasilkan menerusi teknologi yang digelar AMG Torque Control. Menerusi teknologi ini, CLA45 dibekalkan dengan gandar belakang baharu yang dilengkapi klac pelbagai cakera. Lebih informasi berkenaan teknikal jentera ini boleh anda baca pada artikel utama pada PAUTAN INI.

GALERI: Mercedes-AMG CLA45 S 4Matic+ di Malaysia – RM448,888, 2.0L turbo 421 PS/500 Nm dan Drift Mode

Walaupun diasaskan dari kerangka yang sama, CLA45 AMG tampil dengan rupa yang jauh lebih liar dari CLA biasa. Bahagian muka, seperti model-model tertinggi AMG lain, ia menerima gril Panamericana diapit oleh lampu hadapan Multibeam LED. Bampar hadapan juga hadir dengan liang kemasukan udara yang besar bersama apron yang kelihatan seperti sayap jet.

Dengan trek roda yang lebih lebar, fender hadapan CLA 45 ini juga direka lebih gemuk dari CLA standard. Di belakang, bamparnya diberikan elemen diffuser dengan perumah untuk menempatkan sepasang tip ekzos bulat bersaiz besar. Lencana ‘S’ turut diberikan pada bahagian belakang bagi memberikan amaran ia adalah dari versi paling ganas, serta hadir dengan rim berdiameter 19-inci.

Pada bahagian dalaman, rekaan asas kabin A-Class masih jelas kelihatan, dengan skrin sistem infotaimen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) sebagai bintang utama. Seperti biasa, model AMG sebenar ini akan diberikan sentuhan perlumbaan dengan tempat duduk Sport bersama upholsteri kulit buatan Artico hitam dan gentian mikro Dinamica.

GALERI: Mercedes-AMG CLA45 S 4Matic+ di Malaysia – RM448,888, 2.0L turbo 421 PS/500 Nm dan Drift Mode

Kabin CLA 45 yang muncul ketika dilancarkan ini menerima serlahan-serlahan merah pada bahagian tertentu seperti tali pinggang keledar, dan liang penghawa dingin. Ia turut dipadankan dengan roda stereng AMG Performance, bersama paparan instrumen AMG di belakangnya, yang hadir dengan tema Classis, Sport dan Supersport.

Paparan istimewa tersebut juga boleh memaparkan informasi-informasi lebih istimewa seperti jumlah G-Force ketika mengambil selekoh dan jam randik. Manakala sistem MBUX pada hot-hatch ini hadir dengan fungsi tambahan AMG Track Pace, iaitu sistem yang mampu untuk merekod lebih dari 80 data spesifik ketika kereta tersebut dipandu di litar, termasuk rekod masa lap dan juga masa sektor dalam warna merah atau hijau.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required