Mercedes-AMG CLA45 S 4Matic+ C118 kini di Malaysia – RM448,888, ada Drift Mode, berkuasa 421 PS/500 Nm

Mercedes-AMG CLA45 S 4Matic+ C118 kini di Malaysia – RM448,888, ada Drift Mode, berkuasa 421 PS/500 Nm

Selain dari hot-hatch A45 generasi baharu, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini turut melancarkan sekali kembarnya dengan but belakang dan bumbung lebih rendah, Mercedes-AMG CLA45 4Matic+. Model ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM448,888, atau sekitar RM40,000 lebih mahal dari model generasi sebelum ini. Walau bagaimanapun tidak seperti A45 S, MBM tidak menawarkan CLA45 S ini dalam versi Edition 1.

Seperti model generasi sebelumnya, selain dari bentuk badan, spesifikasi mekanikal untuk versi CLA45 ini adalah di bawa terus dari A45. Ketika diperkenalkan buat pertama kali di Goodwood Festival of Speed tahun lalu, siri 45 generasi baharu ini hadir dengan dua versi iaitu model standard dan juga versi paling berkuasa diberikan lencana ‘S’

Untuk pasaran Malaysia, MBM hanya menawarkan model tertinggi Mercedes-AMG CLS45 S 4Matic+. Kedua-dua model tersebut sebenarnya masih dijana oleh enjin baharu yang sama iaitu enjin empat silinder 2.0 liter turbo M139, namun versi S ini menerima talaan yang membolehkan ia menjana 421 PS dan tork maksima 500 Nm. Untuk model standard pula, kuasa yang dihasilkan hanya sedikit tinggi dari model generasi sebelumnya iaitu 387 hp/480 Nm.

Untuk menghasilkan enjin produksi 2.0 liter paling berkuasa dalam pasaran buat masa sekarang dan boleh ‘dibelasah’ setiap hari tersebut, pelbagai rombakan besar dilakukan oleh Mercedes-AMG berbanding enjin M133 sebelumnya. Pertama sekali, kedudukan enjin baharu ini telah diterbalikkan 180 darjah, bermaksud manifold kemasukan kini berada di hadapan, manakala pengecas turbo pula berada di belakang berhampiran firewall.

Mercedes-AMG CLA45 S 4Matic+ C118 kini di Malaysia – RM448,888, ada Drift Mode, berkuasa 421 PS/500 Nm

Rekaan ini membolehkan udara yang disedut lebih cepat sampai ke manifold kemasukan, manakala gas ekzos juga lebih untuk mengalir kebelakang. Ia juga membolehkan bonet direka lebih rendah dan memberikan kesan aerodinamik lebih baik pada bahagian hadapan.

Enjin M139 ini turut menerima pengecas turbo twin scroll baharu yang kini menggunakan galas bebola (roller bearing) pada syaf turbin bagi mengurangkan kadar geseran. Menurut Mercedes-AMG, pengecas turbo tersebut kini lebih responsif, dan putaran setinggi 169,000 rpm boleh dicapai dalam masa lebih singkat.

Selain menggunakan minyak pelincir dan air, pengecas turbo tersebut turut disejukkan oleh oleh udara segar menerusi paip saluran yang dibina khas untuknya, menerima suapan udara terus dari gril. Boost maksima yang diterima dari turbin berkenaan pula dikawal oleh wastegate elektronik yang dapat berfungsi dengan lebih tepat berdasarkan bacaan tekanan caj udara, posisi injap pendikit dan kemungkinan untuk berlakunya knocking. Boost maksima standard yang ditetapkan adalah pada tahap 2.1 bar (1.9 bar untuk versi standard)!

Jurutera Mercedes-AMG juga telah merubah semula sudut penyuntik bahan api dan palam pencucuh pada kebuk pembakaran. Kepala silinder tersebut juga kini dilengkapi dengan injap ekzos yang lebih besar, bagi membolehkan gas ekzos keluar dengan lebih efisien. sekaligus menghasilkan respon lebih baik.

Mercedes-AMG CLA45 S 4Matic+ C118 kini di Malaysia – RM448,888, ada Drift Mode, berkuasa 421 PS/500 Nm

Selain itu, enjin ini dibina dengan rekaan blok close deck, silinder omboh yang disalut bahan nanoslide dan juga takung minyak pelincir yang dibuat dari bahan aluminium sepenuhnya. Bagi membolehkan ia sentiasa berada pada suhu operasi yang optimum, pam air elektrik dibekalkan pada sistem penyejukkan, bersama tambahan unit radiator kedua yang diletak di belakang ruang roda hadapan untuk membantu radiator utama di bahagian hadapan.

Enjin ini ditala bagi membolehkan tork maksima dicapai pada 5,000-5,250 rpm (4,750-5,000 untuk versi standard), membolehkan responnya dirasakan seperti sebuah enjin tanpa turbo berkapasiti besar. Tahap redline enjin juga kini lebih tinggi, ditetapkan pada 7,200 rpm. Seperti biasa, setiap satu enjin AMG yang dihasilkan di Affalterbach ini dipasang hanya oleh seorang pakar dengan prinsip “satu enjin, satu orang”.

Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan AMG Speedshift 8G, dan kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda 4Matic+. Ini membolehkan CLA45 S memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 270 km/j.

Dengan kuasa yang lebih besar serta sistem pacuan semua roda 4Matic+ yang lebih dinamik, CLA45 generasi baharu ini hadir dengan ‘Drift Mode’ membolehkan ia menggelangsar seakan kereta rali. Mod berkenaan dapat dihasilkan menerusi teknologi yang digelar AMG Torque Control. Menerusi teknologi ini, CLA45 dibekalkan dengan gandar belakang baharu yang dilengkapi klac pelbagai cakera.

Mercedes-AMG CLA45 S 4Matic+ C118 kini di Malaysia – RM448,888, ada Drift Mode, berkuasa 421 PS/500 Nm

Dengan gandar baharu tersebut, tork dari enjin kini bukan sahaja dapat dibahagikan dengan tepat berdasarkan situasi antara gandar hadapan dan belakang, malah ia turut boleh dibahagikan secara berasingan kepada roda kiri dan kanan pada bahagian belakang.

Jadi karekter pembahagian tork akan berubah mengikut talaan mod pemanduan yang dipilih oleh pemandu. ‘Drift Mode’ tersebut diletakkan pada talaan ‘RACE’ (ESP dimatikan, dan transmisi hanya beroperasi secara manual), dan sekiranya diaktifkan, pemandu dapat melakukan aksi powerslide dengan mudah dengan kawalan dibantu oleh komputer.

Seperti biasa, walaupun diasaskan dari kerangka yang sama, CLA45 AMG tampil dengan rupa yang jauh lebih liar dari CLA biasa. Bahagian muka, seperti model-model tertinggi AMG lain, ia menerima gril Panamericana diapit oleh lampu hadapan Multibeam LED. Bampar hadapan juga hadir dengan liang kemasukan udara yang besar bersama apron yang kelihatan seperti sayap jet.

Dengan trek roda yang lebih lebar, fender hadapan CLA 45 ini juga direka lebih gemuk dari CLA standard. Di belakang, bamparnya diberikan elemen diffuser dengan perumah untuk menempatkan sepasang tip ekzos bulat bersaiz besar. Lencana ‘S’ turut diberikan pada bahagian belakang bagi memberikan amaran ia adalah dari versi paling ganas, serta hadir dengan rim berdiameter 19-inci.

Mercedes-AMG CLA45 S 4Matic+ C118 kini di Malaysia – RM448,888, ada Drift Mode, berkuasa 421 PS/500 Nm

Pada bahagian dalaman, rekaan asas kabin A-Class masih jelas kelihatan, dengan skrin sistem infotaimen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) sebagai bintang utama. Seperti biasa, model AMG sebenar ini akan diberikan sentuhan perlumbaan dengan tempat duduk Sport bersama upholsteri kulit buatan Artico hitam dan gentian mikro Dinamica.

Kabin CLA 45 yang muncul ketika dilancarkan ini menerima serlahan-serlahan merah pada bahagian tertentu seperti tali pinggang keledar, dan liang penghawa dingin. Ia turut dipadankan dengan roda stereng AMG Performance, bersama paparan instrumen AMG di belakangnya, yang hadir dengan tema Classis, Sport dan Supersport.

Paparan istimewa tersebut juga boleh memaparkan informasi-informasi lebih istimewa seperti jumlah G-Force ketika mengambil selekoh dan jam randik. Manakala sistem MBUX pada hot-hatch ini hadir dengan fungsi tambahan AMG Track Pace, iaitu sistem yang mampu untuk merekod lebih dari 80 data spesifik ketika kereta tersebut dipandu di litar, termasuk rekod masa lap dan juga masa sektor dalam warna merah atau hijau.

Sekali lagi disebutkan, Mercedes-AMG CLA45 S 4Matic+ ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM 448,888. Selain boleh membelinya dengan kaedah pembiayaan biasa, MBM turut menawarkan skim pembiayiaan dengan bayaran bulanan lebih rendah iaitu Mercedes-Benz Agility Financing dan AMGPro Financing (yang diberikan tambahan Star Protect Plus).

Menurut MBM, skim ini turut menjamin nilai kereta anda pada masa hadapan dan turut akan menerima faedah lain seperti turut disertakan dengan premium insuran kenderaan komprehensif, khidmat tundaan tanpa had perbatuan, penukaran tayar dan rim dan lain-lain perlindungan menyeluruh.

Untuk itu, Mercedes-AMG CLA 45 S ini boleh anda miliki dengan bayaran bulanan serendah RM5,355 menerusi pakej Agility Financing dan RM5,588 sebulan dengan pakej AMGPro Financing – kedua-duanya tertakluk pada terma dan syarat.

GALERI: Imej rasmi Mercedes-AMG CLA45 S 4Matic+ C118 pasaran Malaysia

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required