Kemudahan Tesla Supercharger yang telah dibuka di Pavilion Kuala Lumpur menyaksikan ramai tenaga tempatan dari EV Connection, sebuah syarikat penyedia perkhidmatan pemasangan stesen pengecas EV, yang terlibat dalam pemasangannya.
Syarikat itu memaklumkan, pasukan dari EV Connection bersama dengan Tesla telah menyelesaikan pemasangan kemudahan itu dalam tempoh dua minggu. Penyedia penyelesaian tenaga, Gentari memiliki 33.52% kepentingan dalam EV Connection, sementara ACO Group memegang 6.98% saham melalui ACO Holdings, menurut The Edge.
Dipasang di lokasi berkenaan sebelum pengenalan rasmi jenama Tesla di Malaysia, stesen Tesla Supercharger terdiri daripada lapan unit Supercharger, yang mampu memberikan output maksimum pengecasan sehingga 250 kW.
Minggu ini juga, berita tentang Tesla Supercharger mula beroperasi di Pavilion Kuala Lumpur mula kedengaran, dengan kadar bayaran yang dikenakan ialah RM1.25 per kWh dengan bayaran membiarkan kenderaan di ruang itu sebanyak RM4 seminit — ini bagi mengelakkan ruang berkenaan disalah guna untuk tujuan lain selain pengecasan.
Bayaran membiarkan kenderaan yang di parkir itu akan dibatalkan sekiranya kenderaan dialihkan dalam tempoh lima minit selepas sesi pengecasan tamat, dan akan dikenakan dua kali ganda sekiranya stesen Supercharger sedang dalam kapasiti penuh.
Buat masa ini, kemudahan Supercharger ini hanya untuk dimanfaatkan oleh kenderaan Tesla sahaja, walaupun ada lokasi lain nanti yang akan membolehkan EV jenama lain turut menggunakannya, selari dengan syarat BEV Global Leaders Programme oleh MITI.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.