Chery Malaysia telah meraikan pencapaian bagi serahan pertama kereta pemasangan jenama itu — bukan kepada pelanggan, tetapi dari Inokom di Kulim selaku pihak yang bertanggungjawab memasang kenderaan tersebut kepada Chery Malaysia. Dua model yang terlibat ialah Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro.
Majlis serahan tersebut, yang dilakukan selepas melakukan PDI untuk kelompok pertama, menyaksikan Pengarah Urusan Inokom Corporation, Sui Keng Huat menyerahkan replika kunci kepada Pengarah Operasi Kilang, Chery Malaysia, Xu Jing Zhong.
“Pencapaian yang membanggakan ini menunjukkan komitmen kami untuk melakukan pemasangan tempatan bagi kenderaan kami serta kesungguhan kami untuk memberikan pengalaman pemanduan yang terbaik untuk pelanggan. Ini juga menandakan era baru dalam perjalanan automotif kami di sini,” jelas syarikat itu.
“Melangkah ke depan, Chery Malaysia komited untuk memperkayakan lagi kemampuan pengilangan kami, melabur dalam teknologi canggih, dan melakukan lebih banyak kerja sama dengan pembekal tempatan untuk menyokong ekosistem automotif di Malaysia. Perkembangan ini tidak hanya memperkukuhkan kedudukan kami di dalam industri automotif tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi serantau,” tambahnya.
Di peringkat global, Chery telah mencatatkan jualan keseluruhan kumpulan sebanyak 741,400 unit kenderaan untuk separuh pertama 2023. Itu melibatkan peningkatan 56% bagi tempoh sama tahun lalu. Ia rekod setengah tahun paling tinggi untuk syarikat itu, dengan jualan melepasi 100k unit bagi 13 bulan berturut-turut. Bagi jenama Chery sahaja, jualan separuh pertama 2023 menyaksikan sebanyak 539,400 unit, meningkat 50.9% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.