Volkswagen ID. GTI Concept – EV GTI pacuan roda depan generasi seterusnya, saiz seperti Polo

Volkswagen ID. GTI Concept – EV GTI pacuan roda depan generasi seterusnya, saiz seperti Polo

Seperti yang kita tahu, Volkswagen adalah antara jenama yang bercita-cita untuk beralih sepenuhnya kepada teknologi elektrik. Dalam peralihan tersebut nampaknya nama ‘GTI’ akan terus dibawa oleh jenama automotif Jerman ini, dihasilkan dalam versi unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya.

Ini dia, ID. GTI Concept, iaitu model konsep elektrik penuh (EV) yang menjadi pebiu kepada model hot-hatch produksi EV pacuan roda hadapan VW untuk masa hadapan. ID. GTI Concept ini diasaskan dari kereta konsep ID. 2all yang didedahkan Mac lalu, dan ia akan dibina berasaskan platform MEB Entry dengan saiz hanya sedikit lebih besar berbanding model produksi Polo GTI generasi sedia ada.

Menurut VW, ID. GTI Concept ini menampilkan dimensi panjang 4,104 mm, lebar 1,840 mm, tinggi 1,499 mm dan jarak roda sejauh 2,600 mm. Sebagai perbandingan, dimensi untuk Polo GTI adalah 4,074 mm panjang, 1,751 mm lebar, 1,431 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,549 mm. Golf GTI pula adalah lebih besar dengan saiz 4,284 mm panjang, 1,739 mm lebar, 1,456 mm tinggi dan jarak roda 2,636 mm.

Volkswagen ID. GTI Concept – EV GTI pacuan roda depan generasi seterusnya, saiz seperti Polo

Buat masa sekarang Volkswagen belum mengumumkan angka kuasa sebenar bagi ID. GTI Concept ini, namun ada beberapa petunjuk untuk meramal julat kuasanya. Pertamanya, VW menyatakan bahawa “dunia elektrik ID. GTI Concpet dan Golf GTI berkuasa turbo bertemu apabila menyebut kuasa dialirkan ke gandar hadapan.”

Manakala angka kuasa untuk versi asas ID. 2all sebelum ini sudah dinyatakan akan ditawar sehingga 226 PS (223 hp atau 166 kW). Model itu juga dinyatakan boleh bergerak sejah 450 km dalam kitaran WLTP untuk satu cas penuh.

VW mengesahkan bahawa ID. GTI Concept ini turut akan dilengkapi dengan unit LSD elektronik pada gandar hadapan yang dikawal oleh Vehicle Dynamics Manager (VDM) walaupun ia dijana oleh kuasa elektrik sepenuhnya. VDM turut akan mengawal penghantaran kuasa motor elektrik.

Selain itu pelbagai mod pemanduan turut berikan menerusi sistem GTI Experience Control yang baru dibangunkan, membolehkan pemandu melaras sistem pemanduan termasuk unit rangkaian kuasa, stereng, pengalaman bunyi serta memberikan rasa seakan tukaran gear dalam gaya model-model bersejarah GTI sebelum ini.

Bagi rekaan, hot-hatch EV ini menampilkan pelbagai perincian ikonik dari model-model GTI terdahulu. Tiada liang sebenar pada gril hadapan kereta ini, dan ia diapit dengan lampu hadapan LED matriks IQ.Light. Jalur lampu pada bahagian atas gril juga masih kelihatan seperti masih bersambung dengan jalur LED pada kluster lampu utama. Emblem “GTI” turut diletakkan ditempat sepatutnya.

Bampar ID. GTI Concept ini dihasilkan lebih agresif berbanding ID. 2all. Ia menampilkan struktur sarang lebah pada liang udara utama, diberikan splitter udara berwarna hitam, dua cagak tunda berwarna merah, dan juga jalur LED untuk lampu nyalaan siang yang diletakkan secara menegak pada kedua-dua sisi.

Di belakang, ID.GTI Concept ini diberikan spoiler bersaiz besar serta diffuser yang sangat menyerlah pada bahagian bawah bampar. Lampu belakang direka merentangi sepenuhnya bahagian pintu tailgate dengan logo VW yang menyala ditengah serta grafik GTI di bawahnya.

Volkswagen ID. GTI Concept – EV GTI pacuan roda depan generasi seterusnya, saiz seperti Polo

Dua buah ID. GTI Concept didedahkan kali ini, satu dengan warna badan Diamond Silver Metallic dan sebuah lagi berwarna Mars Red – kedua-dua warna ini merupakan warna asal model generasi pertama Golf GTI. Ia juga tampil dengan rim gergasi 20-inci yang digelar sebagai rim aloi GTI Concept.

Bahagian dalaman model konsep ini diberikan rekaan yang cukup ringkas, dengan pemandu diberikan skrin 10.9-inci GTI Digital Cockpit dan juga paparan head-up yang turut boleh memancarkan peta litar Nürburgring. Manakala pada bahagian tengah, ia diberikan skrin sesentuh untuk sistem infotaimen bersaiz 12.9-inci.

Walaupun tampil dengan rekaan minimalis, ia masih diberikan suis-suis fizikal untuk kawalan bunyi audio dan juga sistem pendingin hawa. Juga dapat dilihat di bawah panel suis tersebut turut disertakan pad pengecas telefon pintar tanpa wayar.

Model konsep ini diberikan roda stereng yang rata di atas dan bawah, namun ia masih mengekalkan perincian-perincian asal GTI seperti tanda pukul 12 berwarna merah dan juga tiga-jejari ‘spittoon’ seakan roda stereng asal Golf GTI generasi pertama.

Tiada tombol gear konvensional pada kereta ini kerana EV sememangnya tiada kotak gear, dan pemandu boleh memilih untuk bergerak kehadapan atau ke belakang menerusi tuil pemilih yang diletakkan pada kolum stereng. Namun pada suis putar kawalan GTI Experience Control pada konsol tengah, VW masih memberikan elemen rekaan bola golf disekelilingnya persis tombol gear Golf GTI sebelum-sebelum ini.

Kalau anda perasan, VW turut menampilkan grafik berbentuk hati pada tempat duduk ID. GTI Concept ini. Grafik yang digelar Jack-e berkenaan sebenarnya diambil dari paten fabrik Jacky pada tempat duduk VW Golf GTI Mk6. Perincian lain yang turut diberikan termasuk port USB-C 45 W, soket kuasa 230-volt.

Sama seperti ID. 2all, ID. GTI Concept ini turut menampilkan ruang storan 50 liter yang tersorok di bawah tempat duduk belakang. Ia juga menyediakan ruang but belakang berkapasiti 490 liter (berbanding 305 liter pada Polo GTI) dan boleh meningkat kepada 1,330 liter (1,079 pada Polo GTI) sekiranya tempat duduk belakang dilipat.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required