Selepas model standardnya didedahkan April lalu, kini versi facelift untuk Polo generasi keenam diperkenalkan pula dalam versi prestasi, Polo GTI. Ia menerima sentuhan rekaan semula dan juga menerima penambahan teknologi sama seperti Polo Mk6.5 biasa, bersama prestasi yang dipertingkat.

Ia masih dijana oleh enjin 2.0 liter TSI turbo empat-silinder seperti sebelumnya, namun menerima talaan semula bagi menghasilkan 207 PS atau 7 PS lebih berkuasa, dengan tork yang tidak berubah pada kadar 320 Nm. Tetapi apa yang menyedihkan, tiada lagi pilihan kotak gear manual enam-kelajuan. Satu-satunya kotak gear yang ditawarkan iaitu transmisi klac berkembar automatik DSG menerima peningkatan kepada tujuh-kelajuan, berbanding hanya enam sebelum ini.

Ini membolehkan Polo GTI Mk6.5 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.5 saat, atau 0.2 saat lebih pantas dari sebelumnya. Kelengkapan prestasi lain walau bagaimanapun masih tiada perubahan, menampilkan casis talaan prestasi yang 15 mm lebih rendah dari Polo standard, serta menerima XDS differential lock yang berfungsi dengan membrek.

Pada bahagian luaran, model facelift ini turut menerima muka yang hampir seiras seperti Golf Mk8 sama seperti Polo standard. Ia juga dibekalkan standard dengan lampu hadpaan LED matriks IQ-Light, bersama lampu nyalaan siang berbentuk-L direka seakan bersambung dengan jalur yang bernyala di bawah gril.

Rupa lebih agresif Polo GTI ini turut disumbangkan dari rekaan bampar hadapan dan belakang lebih sporty, serta kemasan hitam tambahan pada skirt sisi yang kelihatan sama dengan Polo R-Line. Bampar hadapan Polo GTI ini diberikan liang ambilan udara lebar penuh, dan ia dibezakan dari model standard menerusi gril sarang lebah bersama lampu kabus dengan elemen yang sama.

Manakala di belakang ia menerima diffuser bersama kemasan warna badan, dan turut kelihatan tip ekzos berkembar logam sebenar, berbanding empat tip palsu pada Polo biasa dalam varian R-Line. Jalur-jalur merah signatur GTI turut menghiasi tempat-tempat sepatutnya.

Model ini juga masih diberikan pelbagai rekaan rim aloi dalam saiz 17- hingga 18-inci, namun rim dengan rekaan turbin dalam saiz 18-inci kini tidak ditawarkan lagi.

Pada bahagian dalaman, ia menampilkan rekaan asas papan pemuka yang sama seperti Polo biasa, tetapi menerima sentuhan GTI seperti panel merah berkilat, roda stereng rata di bawah, tombol gear yang direka semula, upholsteri fabrik tartan, serta serlahan-serlahan jahitan dan kemasan merah pada berberapa bahagian.

Paparan instrumen Digital Cockpit Pro dengan skrin 10.25-inci pada Polo GTI ini menerima resolusi lebih tinggi. Butang-butang kawalan pada roda stereng serta kawalan pendingin hawa pula dipertingkat dengan sistem sensitif sentuhan seperti model-model terkini VW yang lain.

Manakala untuk infotainmen, skrin utama kini dipertingkat dengan saiz 9.2 inci, dengan asas sistem modular MIB3 terkini yang manampilkan eSIM bersepadu untuk akses kepada internet. Ini membolehkan ia menawarkan servis internet We Connect dan We Connect Plus, fungsi arahan suara lebih maju, akses untuk servis streaming serta tetapan lebih individu menerusi Volkswagen ID. Hubungan tanpa wayar untuk Apple CarPlay dan Android Auto juga turut tersedia.

Volkswagen Polo GTI Mk6.5 ini juga ditawarkan dengan fungsi pemanduan separa autonomi VW IQ.Drive Travel Assist. Sistem ini berfungsi dengan cruise control adaptif bersama bantuan pengekal tengah lorong bagi membolehkan pendikit, brek dan stereng dikawal secara automatik.