Volkswagen Polo Mk6 facelift 2021 didedahkan – rupa lebih mirip Golf, tampil enjin 1.0 liter NA dan TSI

Volkswagen Polo Mk6 facelift 2021 didedahkan – rupa lebih mirip Golf, tampil enjin 1.0 liter NA dan TSI

Volkswagen Polo generasi ke-enam sudahpun diperkenalkan sejak 2017, namun ia masih belum masuk ke pasaran Malaysia di mana kita masih perlu memilih model generasi kelima di bilik pameran tempatan. Tetapi hari ini, Polo Mk6 sudahpun muncul dalam versi facelift untuk peringkat global.

Untuk kemaskini terbaharu ini, Polo menerima rupa yang semakin hampir dengan abangnya, Golf terutama pada bahagian belakang dengan Lampu yang menerima kluster tambahan pada pintu tailgate serta nama ‘POLO’ yang diletakkan pada bahagian bawah logo VW di tengah.

Pada bahagian hadapan pula, kluster lampu Mk6 facelift ini direka semula yang nampak lebih tirus dari sebelum ini. Jalur lampu nyalaan siang bina dalam pada lampu tersebut direka bersambung dengan bar lampu pada gril yang turut berhubung dengan logo VW di tengah. Satu lagi jalur LED yang lebih pendek turut diberikan pada bahagian hujung lampu utama tersebut.

Volkswagen Polo Mk6 facelift 2021 didedahkan – rupa lebih mirip Golf, tampil enjin 1.0 liter NA dan TSI

Polo Mk6 facelift ini diberikan lampu hadapan LED sebagai ciri standard, bersama pilihan lampu hadapan LED matrix “IQ.Light” buat pertama kali. Bampar untuk model ini juga dirombak sepenuhnya dengan kemasan hitam serta gril bawah yang besar.

Unit berwarna biru yang anda lihat ini adalah varian standard yang paling sporty untuk Polo Mk6 facelift iaitu R-Line, tetapi ia agak mengelirukan kerana logo-logo R yang dilekat pada gril dan fender hadapan tidak menampilkan perkataan ‘Line’.

Versi R-Line ini juga menampilkan kemasan-kemasan hitam berkilat pada gril bampar dan lips di bawahnya, skirt sisi, serta bampar belakang. Ia juga diberikan tips ekzos palsu kemasan krom dan juga kemasan pemanjang pada spoiler belakang berwarna hitam berkilat.

Pada bahagian dalaman, rupa papan pemuka model facelift ini masih lagi kelihatan sama dengan versi sebelum ini, tetapi ia tidak lagi ditawarkan dengan kemasan yang sama warna dengan warna badan. Sistem infotainmen yang diberikan adalah dari versi terkini dengan pilihan skrin paling besar 9.2-inci (sebelum ini 8.0-inci).

Sebelum ini paparan meter digital Active Info Display hanya ditawarkan sebagai opsyen, tetapi sekarang ia dipadankan secara standard untuk semua varian dengan skrin bermula 8.0-inci hingga 10.25-inci. Selain itu, model tingkat taraf ini juga datang dengan panel kawalan pendingin hawa yang sama seperti Tiguan dan Arteon terkini, serta pengecas tanpa wayar dan roda stereng rekaan baharu.

Manakala untuk varian R-Line, ia hadir dengan lencana R pada kemasan bendul pintu, roda stereng serta skrin pemula sistem infotainmen, bersama rekaan corak fabrik yang lebih funky. Selain R-Line, dua lagi varian lebih rendah untuk Polo ini adalah Style dan Life.

Volkswagen Polo Mk6 facelift 2021 didedahkan – rupa lebih mirip Golf, tampil enjin 1.0 liter NA dan TSI

Buat masa sekarang Polo Mk6 facelift diberikan berberapa pilihan enjin, tetapi kesemuanya datang dalam kapasiti 1.0 liter. Model paling rendah adalah 1.0L NA berkuasa 80hp dan tork maksima 93 Nm, digandingkan dengan kotak gear lima-kelajuan manual.

Pilihan lebih berkuasa pula adalah versi turbo 1.0 liter TSI dalam dua pilihan talaan kuasa; 95 hp dan 110 hp. Model dengan 110 hp dipadankan standard dengan kotak gear automatik klac berkembar DSG tujuh-kelajuan, manakala pada model 95 hp pula kotak gear tersebut ditawarkan secara opsyen.

Enjin 1.0 liter TGI berkuasa 90 hp dan tork maksima 160 Nm yang dijana oleh gas asli termampat (CNG) pula adalah pilihan dengan tahap penggunaan bahan api paling efisien antara semua. Tiada enjin diesel TDI ditawarkan untuk Polo Mk6 facelift ini, dan seperti biasa model prestasi tinggi Polo GTi akan menyusur selepas ini menampilkan enjin TSI dalam kapasiti lebih besar.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required